Gagal atasi banjir, RoL tidak capai matlamat
KUALITI air sungai yang terlibat dengan Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL) di ibu negara berada dalam tahap Kelas III atau tidak sesuai untuk disentuh bagi tujuan rekreasi. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
2 Ogos 2024, 7:39 am
PETALING JAYA: Projek Sungai Nadi Kehidupan atau River of Life (RoL) tidak mencapai matlamat untuk mentransformasikan Sungai Gombak dan Sungai Klang kerana gagal menangani masalah banjir walaupun dapat disiapkan 100 peratus kelak.
Malah projek menelan belanja RM4.363 bilion itu belum mencapai kualiti air sungai kategori baik iaitu Kelas II B bagi tujuan rekreasi.
Kualiti airnya kini berada dalam tahap Kelas III atau tidak sesuai untuk disentuh bagi tujuan rekreasi.
Buat masa ini, pelaksanaan projek RoL yang bertujuan mentransformasikan Sungai Gombak dan Sungai Klang yang sepatutnya siap pada tahun ini, hanya berbaki kira-kira 19 peratus untuk disiapkan.
Pengerusi Save Kuala Lumpur, Datuk M. Ali berkata, rakyat tempatan khususnya warga Kuala Lumpur tidak menikmati manfaat RoL yang hanya diutamakan untuk tumpuan para pelancong pada waktu malam.
Sebaliknya kata beliau, orang ramai terutama peniaga berhampiran masih melihat projek sungai itu belum mendatangkan sebarang impak apabila mereka masih terkesan dengan banjir kilat setiap kali hujan lebat.
Malah katanya, kemudahan awam berhampiran tidak diselenggara dengan baik apabila kerosakan laluan jalan sekali gus menjejaskan keindahan lokasi ikonik pelancongan itu.
“Kerajaan komited mahu menyiapkan baki projek yang tinggal 19 peratus. Tapi sekarang 80 peratus pun tidak nampak apa-apa manfaat daripada projek ini.
“Adakah ia boleh memperbaiki masalah banjir? Jawapannya tidak. Anda boleh lihat sendiri, malam nampak cantik sebab ada lampu, kalau pada sebelah siang nampak sama macam tiada perubahan. Malah sungai ini kononnya boleh digunakan untuk tujuan rekreasi belum lagi capai sasaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mendedahkan projek pemuliharaan sungai dalam kawasan bandar yang paling kompleks dengan kos tertinggi pernah dilaksanakan di Malaysia, iaitu RM4.363 bilion itu dijangka tidak berjaya disiapkan mengikut tempoh ditetapkan tahun ini walaupun RM3.915 bilion telah dibelanjakan.
Menurut laporan itu, hingga Julai tahun lalu lapan projek di bawah RoL masih dalam pelaksanaan dengan kemajuan di tapak antara 21 hingga 97.3 peratus, manakala kontraktor sebelum ini, belum dilantik sementara 12 projek lagi masih belum dimulakan.
Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa berkata, kerajaan tetap meneruskan RoL yang kini berbaki kira-kira 19 peratus untuk disiapkan sepenuhnya.
Beliau berkata, adalah menjadi satu kerugian kepada negara sekiranya projek berkenaan tidak dilengkapkan seperti yang telah dirancang.
Dalam pada itu, tinjauan mendapati kemudahan asas RoL seperti papan tanda dan laluan jalan kaki tidak diselenggara khususnya di Dataran Merdeka dan persekitaran Masjid Jamek walaupun ia adalah lokasi tumpuan orang ramai dan menjadi destinasi pelancongan.
Sementara itu, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, kerajaan perlu mengembalikan konsep asal RoL seperti untuk mentransformasikan Sungai Gombak dan Sungai Klang kepada ikon waterfront yang dinamik dan berdaya huni dengan nilai ekonomi tinggi.
Justeru katanya, kerajaan perlu meneruskan projek itu walaupun berdepan masalah kerana menghentikan pembangunannya menyebabkan negara menanggung kerugian besar.
“Sebenarnya projek ini sudah tiga tahun terabai sejak 2020 kerana pertukaran kerajaan dan penularan Covid-19. Jadi penyelenggaraan tidak dilakukan sekali gus timbul pelbagai masalah,” katanya.
Oleh demikian, Khalid mencadangkan satu jawatankuasa dibentuk untuk mengkaji keseluruhan kelemahan dan melihat penambahbaikan pelaksanaan projek itu agar menepati sasaran ditetapkan.
Dalam laporan audit, mereka mengesyorkan kerajaan melaksanakan penilaian untuk menentukan sama ada projek yang masih dalam peringkat pra pelaksanaan perlu diteruskan dengan mengambil kira aspek peruntukan kewangan untuk pelaksanaan dan penyelenggaraan projek serta sumbangan projek berkenaan kepada pencapaian objektif RoL. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan