Gaji naik, jangan harga barang naik





Gaji naik, jangan harga barang naik
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
19 Ogos 2024, 7:45 am

Harga satu kuih sebelum sebarang berita mengenai kenaikan gaji kakitangan kerajaan adalah 60 sen. Selepas berita awal bahawa kerajaan akan memberi pelarasan gaji selepas lebih sedekad, harga kuih sama naik kepada 70 sen.

Minggu lalu, minggu penentu apabila kerajaan mengumumkan penyelarasan sehingga kenaikan 42 peratus bagi kakitangan rendah, satu kuih sama menjadi RM1.00.

Menjelang Disember nanti, kira-kira 1.6 juta kakitangan awam akan mendapat durian runtuh apabila mendapat pelarasan pertama selepas 10 tahun.

Ia sememangnya berita menggembirakan. Dan sebahagian besar kakitangan awam seperti doktor, guru, jururawat, pegawai polis, dan pembantu rendah yang mempunyai hubungan langsung dengan rakyat memang layak. Mereka menjadi wajah kepada makna perkhidmatan kerajaan. Mereka yang hanya terkangkang di kerusi empuk dan tidak membawa makna besar kepada produktiviti dan kecekapan, selamanya akan hidup seperti makan gaji buta.

Kenaikan gaji bukan hanya di peringkat Pusat. Beberapa negeri juga sudah menyatakan kesanggupan untuk menaikkan gaji kakitangan peringkat negeri selaras dengan keputusan Pusat. Ia langkah yang baik asalkan setiap negeri tahu menjana pendapatan tambahan untuk membayar kenaikan itu.

Jika semua negeri bertindak menaikkan gaji, lebih 2.5 juta kakitangan Pusat akan mendapat gaji baru. Lebih RM10 bilion wang tambahan akan memasuki pasaran.


Ini secara tidak langsung akan mendorong kenaikan harga barang. Inflasi yang dicetuskan oleh lebih cairan.

Seperti isu kuih yang naik apabila hanya berita pertama kenaikan gaji mula dilaungkan.

Apabila kenaikan gaji sebenar datang, pasti akan ada kenaikan harga barang. Ekonomi bukan sains roket. Apabila permintaan meningkat dan pengeluaran kekal sama, maka harga akan naik. Tak perlu ke universiti teragung di UK untuk faham asas ekonomi.

Kenaikan sudah dilihat apabila kerajaan menyelaraskan harga diesel. Sejak penyelarasan itu, harga diesel telah berkurang sebanyak 10 sen (cuma anehnya kenapa RON97 tidak bergerak).

Adakah peniaga akan mengembalikan penjimatan itu kepada pelanggan. Begitu juga pengurangan kos letrik yang diumumkan kerajaan untuk sektor industri. Adakah pengurangan kos itu dikembalikan kepada harga lebih murah?

Di Malaysia, satu-satunya benda yang turun adalah hujan. Ada kalanya itu juga sukar berlaku kerana perubahan iklim dunia.

Rakyat harus bersedia berhadapan kenaikan barangan. Kerajaan hanya mampu mengambil tindakan. Jumlah penguatkuasa adalah terhad untuk memeriksa setiap kedai atau gerai kuih. Alasan diberikan peniaga sememangnya harga barang mentah sudah naik.

Ini semua ketika ringgit Malaysia telah mengukuh kira-kira 40 sen untuk setiap dolar Amerika. Jadi setiap barangan import yang dibayar dalam dolar Amerika adalah lebih murah.

Kuasa akhir dan mutlak adalah di tangan pembeli sendiri. Seperti mana boikot kepada produk tertentu yang mana tidak menjejaskan hidup pengguna itu sendiri, perkara sama harus dilakukan kepada mana-mana peniaga yang secara melampau mengaut keuntungan daripada penyelarasan gaji kakitangan pusat dan negeri. Jika tidak, sebarang kenaikan gaji tidak memberi makna. Pepatah mengatakan untuk kita berakit, kita harus tahu mengikut aliran arus. Begitu juga pengguna, mereka harus pastikan bahawa penyelarasan ini tidak menjadi impian yang sia-sia. – UTUSAN

Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd.

Ulasan