Ganjaran lumayan sebabkan atlet hilang fokus
DATUK DR. RAMLAN ABD. AZIZ
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
11 Ogos 2024, 7:51 am
MUKADIMAH
KALAU dihitung pada tempoh masa berkhidmat dan pengalaman, sudah banyak yang diperoleh bagi individu yang cukup dikenali dalam bidang perubatan serta pentadbiran sukan.
Manakan tidak, khidmatnya membantu atlet negara dalam pelbagai kejohanan besar termasuk enam sukan Olimpik dari Barcelona (1992) sehingga London (2012).
Malah dengan falsafah dan pelaksanaan kerja dalam perkhidmatan sains sukan yang meluas menjadikan beliau sebagai individu layak bagi mengulas isu-isu berkaitan Sukan Olimpik Paris 2024
Justeru wartawan Mingguan Malaysia MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu ramah bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) DATUK DR. RAMLAN ABD. AZIZ bagi mendapatkan pandangan perspektif beliau. Turut membantu jurufoto MUHAMMAD ILHAM SYIR’ABBASY ZAKARIA.
KENA REALISTIK
MINGGUAN MALAYSIA: Bagaimana pemerhatian Datuk terhadap prestasi dan persembahan atlet pada temasya Olimpik kali ini?
RAMLAN: Sebenarnya setiap temasya Olimpik itu lain daripada segi atletnya dan pasukan yang pergi. Jadi, kita cuba buat persediaan yang terbaik sejak Institut Sukan Negara (ISN) ditubuhkan pada 1996, di Bukit Jalil.
Bagaimanapun, kalau dilihat pada persediaan kita dari dulu, ia dilaksanakan secara vertikal. Maknanya, apabila ada kejohanan seperti Sukan SEA, barulah kita sibuk buat persediaan untuk enam bulan atau setahun sebelum kejohanan. Tetapi, kita tidak boleh nafikan persediaan semakin lama semakin baik.
Cuma, ia bukanlah persediaan yang berlandaskan keperluan atlet dan keperluan jurulatih. Sebaliknya, lebih mengikut program pentadbiran.
Jadi, dalam erti kata lain, program persediaan ini berpaut kepada kedudukan kewangan. Kalau ada wang pada masa itu, barulah digubah mengikut kemampuan.
Bagi saya untuk Sukan Olimpik kali ini, kita perlu menjadi realistik (dengan pencapaian atlet) sebab kita hanya mula ‘bekerja’ pada Mac 2023. Sedangkan, temasya pada Ogos iaitu setahun selepas itu.
Sepatutnya persiapan dibuat empat tahun lalu. Tambahan pula dalam Sukan Olimpik ini ada tiga jenis atlet. Pertama, atlet yang berada dalam posisi keadaan yang boleh menandingi pesaing seperti basikal dan badminton.
Kedua, atlet yang jadi juara peringkat Sukan SEA dan Sukan Komanwel. Mereka belum sampai ke tahap bertanding di peringkat Sukan Olimpik. Dan ketiga, untuk jemputan atau wildcard. Atlet kategori ini mungkin hanya mendapat pengalaman yang mampu menjadikan mereka juara pada tahap masing-masing satu masa nanti. Atau mungkin juga peluang untuk memecahkan rekod dalam satu-satu kejohanan di peringkat Sukan SEA atau Sukan Komanwel. Sebagai contoh, pelari pecut Muhd. Azeem Fahmi.
Apa pun perlu diingat kita perlu bersifat realistik walaupun kita seolah-olah sedang mengejar pingat. Pemerhati sukan juga perlu bersifat begitu. Teruskan beri semangat dan sokong mereka untuk meningkat diri pada masa depan.
Masalahnya, kadang-kadang kita punya harapan diletakkan untuk ketiga-tiga atlet ini sama walhal kita perlu tahu profil setiap atlet. Saya cakap begini sebab kadang-kadang kita lupa dan hampa dengan prestasi sehingga lebih daripada atlet sendiri, seolah-olah kita yang bertanding. Sepatutnya, kita kena telan kehampaan kita dan terus beri sokongan pada mereka.
TEKANAN DI MEDIA SOSIAL
Adakah atlet zaman sekarang berdepan tekanan yang lebih disebabkan perkembangan media sosial?
Kalau kita tengok persediaan dalam tempoh empat tahun untuk badminton, ia antara sukan yang sukar sebenarnya. Salah satu disebabkan ramai pemain dengan melibatkan kategori perseorangan dan beregu.
Selain itu, saya katakan persediaan sukar kerana atlet kita berjinak-jinak dengan sains sukan agak lambat. Boleh dikatakan dalam mana-mana sukan di negara ini.
Sebabnya, kita hendak tunggu selepas jadi juara Sukan Malaysia (Sukma) barulah berikan ilmu pengetahuan berkenaan kepada atlet tersebut.
Saya masih ingat lagi semasa tahun 2015, selain program tersebut, kita ada program mengenal pasti bakat dan pembangunan atlet. Masa itu, kita bekerjasama dengan pihak jabatan sukan dan kokurikulum Kementerian Pendidikan.
Kita uji budak Darjah Satu di seluruh negara. Jadi, kita ambil beberapa peratus daripada pelajar. Lebih kurang dalam 500,000 orang. Maknanya, daripada jumlah berkenaan akan ada tapisan dan ujian lain sebelum kita dapat tahu siapa yang berbakat.
Daripada 500,000 tinggal lebih kurang 100,000 pelajar. Sampailah ke satu tahap selepas beberapa fasa ujian, kita dapat 21,000 pelajar yang berpotensi jadi atlet.
Selepas itu pula, sesiapa yang diuji akan diletak dalam satu sekolah di sesebuah daerah supaya anak muda boleh diberi program untuk meningkatkan keupayaan fizikal dan psikologi seawal mungkin. Pada peringkat ini kita tidak beri mereka untuk menyertai dalam apa-apa kategori sukan.
Kita buat ujian lari, lompat, renang dan beri pemakanan sebaiknya serta bentuk karakter mereka daripada awal lagi. Sebabnya, atlet-atlet ini apabila mereka mencapai akil baligh sukar mendengar cakap orang tua.
Cuba bayangkan kalau kita ‘tangkap’ ketika Sukma, lagi susah hendak bentuk. Tetapi hujung tahun 2015, saya ditukar dan selepas itu tiada lagi program sedemikian.
Adakah atlet turut berisiko untuk burnout (tekanan berlebihan dan berpanjangan)?
Ada tetapi ia bukan sebab kerja. Pada saya burnout ini berlaku disebabkan gaya pergerakan latihan atlet yang memberi risiko dan repetitive overload. Maknanya, bebanan yang berulang ulang dengan tidak yang tidak betul. Kadang kala kita tidak tahu pergerakan atlet yang disuruh itu betul atau tidak.
Sepatutnya, kita perlu memastikan pergerakan dilaksanakan mengikut arahan tanpa perlu memberi risiko kecederaan.
Dalam hal ini, saya masih ingat lagi, dulu ada ‘mat saleh’ kata kita tidak boleh dapat overuse injuries (kecederaan berlebihan) sebab atlet Malaysia tidak bekerja keras. Ketika itu tahun 1991. Tetapi saya lihat ia sebagai salah satu kritikan mereka.
Jadi, saya terus bercakap dalam hati walaupun agak pedih dengan apa yang dikatakan ‘mat saleh’ tadi. Sekarang cabarannya pada kita. Apa yang perlu dibuat untuk meningkatkan prestasi atlet dalam setiap aspek? Sudah semestinya pakar yang baik dan berpengetahuan.
Saya pelik apabila ada yang pertikaikan kenapa kita ambil orang luar dalam perjawatan tertentu. Masalahnya apabila diberi tanggungjawab pada orang kita dengan jawatan tertentu, mereka hanya duduk di bawah pokok kelapa dan hisap rokok saja. Tidak melaksanakan apa-apa.
LEE ZII JIA
Difahamkan rutin harian Lee Zii Jia sedikit terganggu kerana ada saja berita yang kurang enak didengar mengenai dirinya termasuk kecaman. Adakah pengurusan tekanan seseorang atlet bergantung sepenuhnya kepada individu atau pihak lain?
Stres ada dua, iaitu positif dan kedua, negatif. Untuk stres yang positif adalah persediaan yang secukupnya dengan melibatkan latihan seperti agility (ketangkasan).
Maksudnya di sini, sekiranya ada stres, seseorang atlet itu perlu ‘peluk’ stres berkenaan dan menghadapinya sebab mereka tidak boleh lari ke mana-mana untuk lari daripada stres berkenaan.
Lagipun, bertanding untuk merebut pingat semestinya ada tekanan. Tetapi persoalannya bagaimana awak boleh menguruskan tekanan untuk meningkatkan prestasi dan bukan menghancurkannya?
Untuk stres negatif pula adalah jangkaan yang tidak munasabah, bukannya atlet tiada keupayaan atau tidak menang. Apabila seseorang atlet itu gagal, dia kena kaji dalam aspek lain juga. Begitu juga kalau dia berjaya. Lihat semula apa yang dia buat dan dia buat dengan siapa (jurulatih)? Ini antara perkara yang perlu dinilai.
BADMINTON DAN BASIKAL SAJA
Sampai bila kita perlu terus bergantung kepada badminton dan basikal semata-mata untuk meraih pingat?
Kita perlu akui bahawa Malaysia berjaya menambah jenis sukan yang layak untuk bertanding berbanding zaman dahulu. Sebelum ini hanya badminton sahaja. Sekarang acara terjun pun kita berjaya dapat pingat. Begitu juga dengan basikal trek.
Apa yang kita perlu buat sekarang adalah mengkaji bagaimana untuk menambah baik dan melonjakkan prestasi atlet.
Perlu diingat apabila memperkatakan tentang lonjakan prestasi atlet, ia mesti datang daripada dua cabang ini juga iaitu pengurusan program dan pengurusan prestasi.
Dulu MSN dan ISN kena bergabung dan dapatkan satu keperluan dan kita kena audit serta teliti mana-mana sukan yang berpotensi.
Sebagai, contoh atlet angkat berat iaitu Aniq Kasdan yang hampir mencatatkan kejayaan. Mengapa kita tidak boleh melihat potensi atlet sepertinya yang badan rendah?
Sebab, kita bukan bertanding dan perlu bersaing dengan mereka yang berbadan besar sebaliknya bertanding dalam kelas tersendiri. Maka perlu dilihat profil dan jenis otot seseorang dan berapa lama tempoh untuk menaikkan prestasi dia sampai ke satu tahap yang kita idamkan.
Kerja-kerja sebegini memerlukan masa yang bukan satu setengah tahun. Ia mengambil masa lama. Lagipun, atlet ini bukan muncul macam cendawan. Maknanya program sudah pun ada di peringkat negeri.
Sebab itu, kita juga perlu ada Pusat Satelit ISN untuk menggalakkan negeri agar mereka ada pusat sains sukan sendiri. Setakat ini Sarawak sudah memulakannya. Sabah juga begitu manakala Johor dan Pulau Pinang pun ada.
Persoalannya, bagaimana kita mahu tandingi atlet lain? Sebenarnya, dalam acara teknikal kita banyak bakat terpendam. Sebagai contoh, acara terjun dan memanah yang berpotensi untuk pergi lebih jauh dan tidak memerlukan persaingan (fizikal) dengan orang lain.
Awak boleh lihat seperti Datuk Azizulhasni Awang. Kelebihan beliau disebabkan acara yang disertainya dan dia mempunyai power out over leg muscle mass. Dia boleh melompat tinggi walaupun dengan tubuh fizikal yang rendah.
Kita mahu cari orang macam itu. Ia berkaitan generation of force (janaan kuasa). Apa beza strength (kekuatan) dan power (kuasa)? Kuasa itu adalah keupayaan kita gunakan kekuatan itu demi melakukan sesuatu pergerakan. Kuasa itu juga adalah movement (pergerakan).
PROGRAM BERLANDASKAN SAINTIFIK
Adakah program pembangunan dan latihan sukan di Malaysia perlu bercorak lebih keras sebagaimana yang dilakukan China dalam memastikan atlet mampu memperoleh emas pada temasya Olimpik?
Kita tidak berkeupayaan daripada segi budaya dan mentaliti masyarakat. Perlu diingat kita jangan sanjung mereka (China) sangat sebab pada tahun 90-an dulu, ketika saya masuk ISN, ada rakan saya memberikan pandangan sama.
Selepas itu saya tanya dia. Berapakah jumlah rakyat China? Pada masa itu jumlah mereka 1.4 bilion dan manakala Malaysia ada dalam 27 juta. Banyak bezanya. Ini bermakna mereka boleh buat apa mereka suka dengan jumlah penduduk yang ramai.
Malah, saya sendiri pernah melihat cara mereka berlatih. Sebagai contoh, ada satu ketika ada atlet disuruh jurulatih untuk melakukan pergerakan demi menguatkan bahu. Dan latihan berkenaan merupakan latihan isometrik.
Apabila disuruh melakukan latihan sebegini, ia akan menyebabkan kecederaan kerana ia latihan untuk pemulihan bukan untuk meningkat keupayaan. Seandainya dibuat dalam tempoh lama, otot akan lemah. Sebab itulah, kaedah latihan amat penting.
Lagipun, dengan jumlah mereka yang ramai, ada macam-macam jenis orang. Cuba awak bayangkan selain legenda badminton dari negara tersebut iaitu Lin Dan, berapa ramai juara yang boleh bertahan untuk satu tempoh dan mengekalkan prestasi mereka?
Biasanya mereka lepas dua tahun akan hilang. Sebabnya, berlaku kecederaan. Berbanding kita, atlet dibantu sepenuhnya dalam setiap aspek sebab kita tidak ramai bakat dan rakyat.
Maka di sini kita sebenarnya boleh pertingkat keupayaan. Di samping itu, program latihan kita juga perlu betul ikut landasan saintifik. Tidak usah kita bercakap soal sains sukan tetapi pada masa sama kita tidak saintifik.
Proses ini bukan saja pada pengurusan prestasi tetapi pada pengurusan program sebab orang yang menguruskan program ini perlu percaya kaedah saintifik. Kalau tidak mereka ingat dan percaya pada magik atau cukup sekadar kata-kata perangsang.
Apakah keperluan untuk MSN menggunakan kaedah psikologi sukan kepada atlet negara sedangkan hanya digunakan dalam kejohanan besar sahaja?
Ini satu cabaran dan saya telah mengkaji sewaktu dilantik sebagai penasihat teknikal. Saya cakap dalam konteks pengurusan kecederaan. Sebabnya, ada pemerhati apabila tengok atlet gagal, mereka akan kata mental tidak kuat
Tetapi adakah mental saja sebagai satu keperluan? Kita tidak tahu pun tentang kemungkinan kecederaan dia dan tahap kecergasan macam mana. Itu belum lagi masalah lain seperti hal-hal di rumah.
Semua itu kita tidak tahu. Jadi, dalam hal ini kita kena ada pengurusan program dan prestasi untuk kestabilan kehidupan mereka. Atlet ini ada sukan dalam kehidupan. Namun harus diingat mereka juga ada kehidupan lain.
GANJARAN LUMAYAN
Ganjaran lumayan sebabkan atlet hilang fokus. Doktor bersetuju?
Setuju. Sebenarnya pingat itulah ganjaran. Ini kerana latihan mereka pun kerajaan sudah banyak membantu.
Awak bayangkan berapa banyak duit kerajaan tanggung untuk atlet ini? Gaji jurulatih, tempat tinggal dan elaun. Maknanya tidak bernilaikah semua itu sehingga mahu beri ganjaran sebanyak RM1 juta dan kemudian barulah atlet mahu menjadi juara?
Kita kena tanamkan dalam mental atlet bahawa pingat emas itulah ganjarannya. Semua yang lain seperti wang tunai, rumah atau sebagainya akan datang kemudian apabila sudah seseorang atlet sudah menang dan jadi juara.
Pada masa sama, kita perlu akui kerajaan turut menghadapi cabaran kewangan demi mendapatkan pingat negara.
Kalau hendak diikutkan, sekarang kerajaan sudah buat macam-macam untuk atlet seperti potongan cukai dan sebagainya. Sepatutnya atletlah yang perlu tunjukkan prestasi tertinggi.
Seandainya kita jadikan duit sebagai ganjaran pada jumlah tertentu sebagai contoh dan kemudian tidak memenuhi janji, mereka pasti akan berasa kecewa dan hampa. Mereka juga tidak boleh fikir pada satu perkara semata-mata seperti ganjaran sahaja. – Mingguan Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan