Jangan beri ruang kepada perosak keharmonian
Oleh Ismail Daud
6 Ogos 2024, 7:56 am
Malaysia diakui sebagai negara berbilang kaum yang unik. Kesepakatan tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India serta pelbagai suku kaum lain di Sabah dan Sarawak adalah keunikan itu.
Kebersamaan dan keharmonian yang dibina sejak sebelum merdeka itu membolehkan Malaysia mengecap kemajuan berterusan sehingga ke hari ini. Selain peristiwa berdarah pada Mei 1969, kita tidak pernah lagi berdepan dengan rusuhan kaum.
Walaupun ada beberapa insiden yang cuba mengganggu gugat perpaduan kaum di negara ini dari semasa ke semasa tetapi tidak pernah sampai ke peringkat rusuhan.
Semuanya mampu ditangani oleh pihak berkuasa, ditambah pula dengan kebanyakan rakyat yang semakin matang dan rasional.
Menyaksikan rakyat Malaysia bersama-sama bersorak ketika pasangan badminton negara bertarung di pentas Olimpik Paris, kita wajar bersyukur dengan keamanan dan keharmonian ini. Walaupun semuanya terkandas di peringkat separuh akhir tetapi sokongan padu tetap diberikan atas semangat Malaysia Boleh.
Bukan setakat di rumah, di pusat beli-belah dan restoran mamak di seluruh negara gegak gempita apabila pasangan Pearly Tan dan M.Thinaah melangkah ke separuh akhir.
Semangat satu Malaysia semakin terserlah malam semalam apabila Aaron Chia dan Soh Wooi Yik yang sudah di ambang kekalahan, berjaya menewaskan lawannya di set kedua dan seterus menang set penentuan.
Macam nak pecah restoran mamak malam semalam. Sebaik menang, ramai yang berpelukan dan bersalaman tanpa mengira kaum dan agama. Memang Malaysia yang sebenar-benarnya.
Walaupun situasi seperti ini hanya dapat dilihat dalam acara-acara sukan melibatkan atlet negara tetapi sekurang-kurangnya terbukti rasa kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Hanya perlu cari jalan bagaimana semangat itu boleh diterjemahkan pada setiap masa dan keadaan.
Malangnya, di saat kita berpadu dan bersorak menyokong atlet kita di Olimpik, ada pula satu kelompok yang ‘entah dari mana’ di Melaka yang menimbulkan kegusaran apabila bertindak mempromosikan kursus Injil percuma secara terbuka baru-baru ini.
Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), Philip Thomas menafikan mana-mana ahli gabungan terlibat dan menyeru siasatan dan tindakan undang-undang diambil untuk mengekalkan keharmonian dalam negara.
Presiden Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois Tan Hoe Chieow turut mengecam tindakan itu dan menegaskan kumpulan agama harus beretika dalam menyebarkan agama masing-masing.
Siapakah mereka itu? Kita tunggu siasatan polis. Yang penting, tindakan tegas perlu diambil terhadap kumpulan yang dianggap sebagai perosak kepada perpaduan negara dan tidak menghormati undang-undang dan norma yang diamal negara ini.
Kalau mereka rakyat negara ini, tidak mungkin mereka tidak faham ‘apa yang boleh dan apa yang tidak boleh’. Kita sudah merdeka selama 67 tahun. Asasnya adalah Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut, Islam adalah agama bagi Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan denga aman.
Walaupun Perkara 11 menyebut perihal kebebasan beragama di negara ini tetapi tertakluk kepada beberapa undang-undang lain berkaitan penyebaran agama lain dalam kalangan orang Islam. Itu sahaja. Mudah.
Harap tiada lagi provokasi. Jangan nanti apabila dikenakan tindakan, mereka ‘menyalak’ menyalahkan kerajaan.
Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan