Kelantan keluar 2,858 hak milik kepada Kesedar
August 12, 2024
Share
Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan
GUA MUSANG: Kerajaan Kelantan sejak era Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga sekarang meluluskan dan mendaftar banyak hak milik tanah di kawasan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, hak milik tanah tersebut iaitu RKT Paloh 1,238 hakmilik, RKT Paloh (2,121), RKT Paloh (376), RKT Chalil (97).
RKT Lebir (183 hak milik), RKT Meranto bertindih dengan kawasan hutan simpan, RKT Sungai Asap (334), RKT Jeram Tekoh (290), RKT Renok Baru (524), RPT Limau Kasturi (173), RPT Sg Terah (822), Taman Agropolitan 122 ekar lot rumah.
“Manakala PPMS Tanah Puteh tiada permohonan daripada Kesedar. Jumlah keseluruhan hak milik dikeluarkan 2,858 dan ia tidak termasuk 122 ekar lot tanah Taman Agropolitan.
“Kesemua hak milik tersebut didaftarkan atas nama Kesedar dan menjadi tanggungjawab Kesedar untuk memberi hak milik-hak milik yang telah didaftarkan kepada peneroka,” katanya pada sidang media di Pejabat PAS Gua Musang, di sini hari ini.
Baru-baru ini, tular isu pemberian hak milik tanah peneroka sebuah agensi kerajaan persekutuan di Gua Musang yang dikatakan tidak mendapat hak milik daripada kerajaan Kelantan.
Malah, mereka mendakwa kerajaan Kelantan tidak memproses permohonan milik bagi peneroka tersebut.
Dr Mohamed Fadzli berkata, kerajaan negeri amat prihatin terhadap keperluan rakyat Gua Musang dan Nenggiri untuk memiliki hak milik tanah.
Menurutnya kerajaan negeri sentiasa berusaha ke arah memenuhi keperluan rakyat untuk mendapatkan hak milik sendiri.
“Sebagai makluman kawasan-kawasan di bawah Kesedar terdiri daripada kawasan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) dan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT).
“Berdasarkan rekod urusan pentadbiran tanah di Gua Musang terdapat dua kawasan RPT iaitu RPT Sungai Terah dan RPT Limau Kasturi,” ujarnya.
Selain itu terdapat sembilan RKT iaitu RKT Kesedar Meranto, RKT Kesedar Jeram Tekoh, RKT Kesedar Sungai Asap, RKT Kesedar Renok Baru, RKT Kesedar Paloh 1, RKT Kesedar Paloh 2, RKT Kesedar Paloh 3, RKT Kesedar Chalil dan RKT Kesedar Lebir.
Kawasan lain di bawah Kesedar iaitu Taman Agropolitan Rantau Manis dan PPMS Tanah Puteh.
“Di DUN Nenggiri terdapat kawasan rancangan Kesedar terdapat empat kawasan RKT dan satu RPT iaitu RKT Kesedar Meranto, RKT Kesedar Sungai Asap, RKT Kesedar Renok Baru, RKT Kesedar Jeram Tekoh dan RPT Limau Kasturi serta kawasan Taman Agropolitan Rantau Manis,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan