Komik ideologi komunis mampu cetuskan api Islamofobia
August 16, 2024
KUALA LUMPUR: SiswaPAS Negeri Selangor memandang serius berkenaan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menarik balik pengharaman komik, Inisiatif Jalur & Jalan Meraih Manfaat Bersama.
Pengerusinya, Faiz Shukri berkata, motif dan tujuan penerbitan komik yang masih ragu-ragu tersebut masih menjadi tanda persoalan kerana komik itu adalah satu karikatur yang mengandungi doktrinisasi ideologi-ideologi yang mengancam kepada keharmonian negara Malaysia.
“Komik ini mengangkat ideologi komunisme, liberalisme dan sosialisme yang mampu mencemarkan generasi muda dengan maklumat-maklumat yang terpesong antaranya komik tersebut menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara pluralisme,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Faiz, pencemaran ideologi tersebut perlu dihalang sepenuhnya kerana komik itu mampu menjadi faktor pemecah keharmonian antara kaum di samping mampu menyalakan api Islamofobia.
Katanya, perkara itu sebagaimana di dalam komik tersebut membawa watak orang Islam Uighur di Xinjiang, China digambarkan sebagai pengganas, berbeza dengan sikap masyarakat Malaysia yang mahu membela nasib mereka yang realitinya tertindas di bumi tersebut.
“Oleh itu, SiswaPAS Selangor mengajak kepada masyarakat terutamanya golongan mahasiswa untuk tidak bermudah-mudah terhadap isu ini, yang mana komik tersebut tidak layak untuk dijadikan sebagai bahan bacaan di negara kita yang tercinta,”kata beliau.
Terdahulu, media tempatan melaporkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan berjudul ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’, yang sebelum ini diwartakan pada 2019.
Perkara itu terkandung dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bertarikh 6 Ogos 2024.
Berdasarkan warta itu, pembatalan Perintah Larangan itu membabitkan penerbitan komik itu dalam tiga bahasa, iaitu versi bahasa Melayu, bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’ dan bahasa Cina.
“Pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), Menteri membatalkan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2019 (P.U. (A) 288/2019) yang disiarkan dalam warta pada 23 Oktober 2019 dengan melarang pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang dinyatakan dalam jadual,” ujar kenyataan berdasarkan Warta Kerajaan Persekutuan itu. – HARAKAHDAILY 16/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan