Kubur timbul: 300 waris berkumpul anjur tahlil
Antara waris menziarah kubur Kampung Mong Gajah yang timbul ketika Tasik Pedu di Padang Terap yang kering akibat kemarau. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Oleh MEDIA MULIA
19 Ogos 2024, 7:53 am
PADANG TERAP: Seramai 300 waris kepada penduduk perkampungan lama di Tasik Pedu yang ditenggelamkan bagi memberi laluan kepada projek Empangan Pedu mengambil peluang mengadakan majlis tahlil dan kenduri berhampiran tapak kubur di situ.
Ia susulan Tanah Perkuburan Kampung Mong Gajah itu timbul sekali lagi selepas dasar Tasik Pedu mengering akibat penyusutan air sepanjang musim kemarau ini.
Kubur lama itu dipercayai sudah berusia lebih 100 tahun yang mula timbul sejak awal bulan ini dan memberi peluang kepada waris menziarahnya terutama generasi muda.
Menurut Md. Daud Ahmad, 65, yang kini tinggal di Kampung Pinang, majlis tahlil berhampiran kubur itu tidak selalunya diadakan kerana bergantung kepada paras air.
“Tahlil dan kenduri yang diadakan oleh waris penduduk berdekatan kubur ini hanya diadakan ketika air tasik betul-betul kering sehingga kita dapat berjalan kaki atau menaiki kenderaan ke sana.
“Tujuannya sebagai memperingati kewujudan kampung ini serta kubur itu yang menjadi tempat nenek moyang kami dikebumikan ratusan tahun lalu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada majlis itu semalam.
JUMLAH
Sehingga semalam, takungan Empangan Pedu berada pada tahap 33.21 peratus, manakala Empangan Muda 7.80 peratus dan Empangan Ahning 78.50 peratus dengan jumlah keseluruhan takungan empangan kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) adalah 38.85 peratus.
Seorang lagi penduduk, Ismail Md. Daud, 62, berkata, majlis tahlil dan kenduri itu mendapat tajaan makanan ramai penduduk yang mengambil kesempatan untuk bersedekah.
“Sejak petang kelmarin kami sudah memasang khemah dan yang bertugas sebagai tukang masak akan tidur di sini, antara menunya 10 ekor kambing dimasak kurma dan rendang, 30 kilogram (kg) gulai daging lembu, 40 kg ikan lampam jawa goreng, kerabu beka serta ulam-ulaman,” katanya.
Meskipun gembira dapat berkumpul dengan sanak-saudara, Ismail tetap sayu mengenangkan arwah datuknya yang dikebumikan di tanah perkuburan itu.
“Bapa saya, Md. Daud Hassan, 90, sempat tinggal di Kampung Kuala berhampiran Kampung Mong Gajah ini. Kampung Kuala tidak pernah timbul sejak ditenggelamkan untuk projek empangan,
“Bapa saya berpindah dari sana pada 1955 kerana dia mendakwa terdapat banyak kematian akibat penyakit misteri,” ujarnya.
Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid yang turut menyertai majlis itu berkata, terdapat kira-kira 15 kampung ditenggelamkan untuk projek Empangan Pedu pada 1960-an dan ia dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman.
Katanya, penduduk kampung itu mempunyai sejarah tersendiri kerana difahamkan mereka membuka kampung itu untuk menyelamatkan diri daripada serangan Siam pada 1821 iaitu ketika mula tercetusnya Perang Musuh Bisik.
“Kita berdoa semoga mereka yang disemadikan di sini selamat dan sejahtera. Selain itu kita juga berdoa semoga kawasan ini kembali dilimpahi air untuk disalurkan bagi kegunaan domestik, pertanian dan industri di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis,” katanya.- UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan