Lesen B: Pengalaman 10 tahun memadai
YUSSERI MD. YUSOFF
Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN
5 Ogos 2024, 7:30 am
PETALING JAYA: Syarat Program Peralihan Khas bagi pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) Kelas B1 dan B2 yang memerlukan pengalaman minimum selama 10 tahun untuk mendapatkan lesen B penuh memadai untuk penunggang beralih kepada motosikal berkuasa tinggi.
Pakar permotoran, Dr. Yusseri Md. Yusoff berkata, ini kerana kriteria kelas latihan untuk mendapatkan lesen B penuh sebelum ini belum tentu dapat membantu seseorang mengendalikan motosikal berkuasa tinggi.
Justeru, katanya, gabungan pengalaman serta program peralihan yang ditetapkan kerajaan dilihat mencukupi bagi menaik taraf lesen motosikal terbabit.
“Dia sudah naik motosikal 10 tahun, itu satu tempoh yang cukup. Kawalan, klac, pendikit (throttle) dan tayar semuanya di tempat sama dan yang membezakan adalah kuasa.
“Kita nak kena persoalkan balik sama ada latihan sedia ada (bagi mendapatkan lesen B penuh) dikira memadai atau sebaliknya, bagi saya tidak cukup dan langsung tidak menggambarkan keadaan sebenar,” katanya yang juga penerbit sebuah majalah permotoran ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Sebelum ini media melaporkan, pemegang LMM Motosikal Kelas B1 dan B2 yang aktif lebih 10 tahun boleh memohon mendapatkan LMM Kelas B bermula 1 Oktober depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata, pemegang LMM Kelas B1 dan B2 yang berminat boleh mendapatkan LMM Kelas B dengan kos yuran hanya RM160 berbanding RM900 sebelum ini.
Menurutnya, mereka yang berminat perlu menghadiri dan lulus program peralihan serta penyesuaian kenderaan motosikal berkuasa 500 cc (sentimeter padu) ke atas selama dua jam di institut memandu.
Syarat lain ditetapkan adalah pemohon hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat atau sebarang perkara belum selesai di bawah Akta 333.
Malah, pemohon juga perlu melakukan pengesahan sihat tubuh badan, fizikal, minda secara deklarasi kendiri.
Mengulas lanjut, Yusseri berkata, syarat program peralihan yang dikhususkan kepada mereka yang mahu menaik taraf lesen B penuh dilihat lebih menyeluruh.
Malah, beliau turut tidak menolak kemungkinan ramai sukar untuk mengambil peluang itu kerana perlu melalui penilaian tertentu termasuk rekod saman.
“Syarat itu adalah penting dan jangan abaikan. Tanpa syarat-syarat itu mereka belum tentu boleh dapat B penuh,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan