Lima PDM Orang Asli jadi cabaran kepada calon, jentera turun kempen




Lima PDM Orang Asli jadi cabaran kepada calon, jentera turun kempen
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim - Ogos 3, 2024 @ 10:01am


Jika sebelum ini, Gua Musang menjadi tumpuan disebabkan kesesakan teruk setiap kali menjelang hari raya, selain kisah di daerah itu juga sering dipaparkan di media massa berkaitan pembalakan, ancaman harimau di samping berkaitan kehidupan penduduk Orang Asli.


Namun, berbeza kali ini apabila sekelip mata Gua Musang menjadi tumpuan dan popular selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri diadakan pada 17 Ogos ini susulan kerusi disandang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mohd Azizi Abu Naim berlaku kekosongan luar jangka disebabkan keahliannya dalam BERSATU dilucutkan.

Hari ini berlangsung proses penamaan calon. UMNO-Barisan Nasional (BN) sebelum ini dilaporkan mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon, manakala BERSATU-Perikatan Nasional (PN) menamakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Mohd Rizwadi Ismail.

Jika tiada aral dan masalah teknikal pada hari penamaan, saingan boleh dikatakan agak sengit kerana masing-masing mempunyai kelebihan. Mohd Azmawi, 38, amat dikenali penduduk Nenggiri, manakala Mohd Rizwadi, 41, seorang aktivis masyarakat yang aktif dan juga Pengelola Dakwah Halaqat Gua Musang.
Disyorkan Untuk Anda










PRK DUN Nenggiri hanya bermula hari ini, tetapi sejak dua minggu lalu, pimpinan politik pelbagai parti sudah mula berkampung dan jumlah kenderaan di daerah berkenaan meningkat ketara dengan kebanyakan nombor pendaftaran dari luar Kelantan hasil tinjauan penulis baru-baru ini.

Durian runtuh, rezeki terpijak


PRK juga menjadi 'durian runtuh' kepada penduduk Gua Musang apabila semua hotel di daerah berkenaan habis ditempah dan berlaku kenaikan lebih 30 peratus sepanjang tempoh dua minggu berkempen bermula hari ini sehingga 17 Ogos nanti, berbanding hari biasa.

Rumah sewa atau rumah tumpangan di bandar dan di kawasan kampung juga dikatakan habis ditempah jentera parti, selain petugas pilihan raya dengan ada rumah tumpangan mengenakan caj bayaran RM5,000 sehingga RM7,000 untuk tempoh dua minggu.

Ada juga pemilik rumah sanggup keluar sementara dan menyewakan rumah mereka kepada jentera parti disebabkan bayaran diterima sangat lumayan, selain mereka menganggap keadaan itu 'rezeki terpijak'. Peniaga kedai makan juga tersenyum lebar apabila rata-rata kedai penuh dengan pengunjung sehingga lewat malam.

PRK Nenggiri juga membuka mata orang ramai mengenai Gua Musang khususnya Nenggiri yang sebelum ini boleh dikatakan ramai tidak tahu di mana letaknya DUN Nenggiri. Ia terletak kira-kira 172 kilometer (km) dari Kota Bharu, mengambil masa sekitar dua jam perjalanan dari ibu negeri Kelantan dan 33km dari bandar Gua Musang.

Kempen bermula hari ini dan jentera pilihan perlu meronda di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM), meliputi sembilan PDM di kampung tradisional, lima di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), manakala satu PDM di bawah FELDA.

Lima PDM Orang Asli adalah Pos Tohoi, Pos Simpor, Sungai Puian, Sungai Jenera dan Wias membabitkan lebih 2,700 pengundi.

Cabaran jentera kempen pasti terarah ke penempatan Orang Asli yang mengambil masa perjalanan antara dua hingga enam jam untuk dicapai. Maka, sewa kenderaan pacuan empat roda mendapat permintaan tinggi untuk memasuki perkampungan Orang Asli. Kos sewa paduan empat roda pula antara RM600 hingga RM1,000 sehari, termasuk pemandu.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan seramai 20,259 pengundi akan menentukan sama ada kerusi berkenaan kekal milik BERSATU atau bertukar tangan kepada BN. PRK ini bukan sekadar memberi cabaran bagaimana calon hendak menang tetapi menguji mental dan fizikal mereka yang terbabit dengan program kempen.

Ulasan