Mahkamah tolak injuksi Mohd Azizi: LUHAM PAS Pusat bersyukur





Mahkamah tolak injuksi Mohd Azizi: LUHAM PAS Pusat bersyukur
August 12, 2024


Wan Rohimi Wan Daud (tengah)

KUALA LUMPUR: Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS Pusat menzahirkan rasa syukur selepas Mahkamah Tinggi hari ini menolak dengan kos sebanyak RM30,000, permohonan injuksi bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim untuk menghalang Pilihan Raya Kecil (PRK) dari diadakan.

Pengerusinya, Wan Rohimi Wan Daud berkata, permohonan injuksi itu difailkan oleh Azizi untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi menghalang PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri sehingga kes induk untuk membatalkan pengisytiharan kekosongan luar jangka oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Nik Amar dibicarakan sepenuhnya.

“Yang Arif Hakim, Puan Roz Mawar Rozain antara lainnya memutuskan bahawa Mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk menghalang SPR dari menjalankan tanggungjawab perlembagaan dalam menjalankan pilihanraya kecil selepas berlakunya kekosongan luar jangka.

“Atas dasar kepentingan awam, Mahkamah juga tidak sewajarnya menghalang tanggungjawab perlembagaan yang sepatutnya dijalankan oleh institusi yang berkenaan (SPR),” katanya.

Tambah beliau, hakim turut menyatakan bahawa Speaker DUN Kelantan hanya menjalankan tanggungjawab perlembagaannya semata-mata selepas menerima notis dari Setiausaha Agung Parti Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Roz dalam hujahannya berkata, Plaintif iaitu Azizi tidak pernah dihalang dari bertanding semula dalam PRK, namun Plaintif memilih untuk tidak menyertainya, dan haknya tidak pernah dihalang dalam menyertai proses demokrasi.

“PRK adalah penting atas dasar kepentingan awam untuk membolehkan rakyat memilih semula calon yang disukainya sebagai wakil rakyat bagi DUN N.43 Nenggiri.

“Keengganan Plaintif menyertai PRK mungkin disebabkan Plaintif mengetahui bahawa pengundi akan menghukumnya kerana mengkhianati amanah kemenangan yang diperolehinya pada Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN15).

“Permohonan injuksi ini adalah sia-sia dan bersifat akademik,” katanya.

Azizi yang juga merupakan Ahli Parlimen Gua Musang sebelum ini merupakan antara enam ahli parlimen Bersatu yang beralih arah dengan menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – HARAKAHDAILY 12/8/2024

Ulasan