Malaysia risiko berdepan krisis bekalan air



Malaysia risiko berdepan krisis bekalan air
PENINGKATAN suhu global dan perubahan pola cuaca yang tidak menentu menyaksikan Malaysia berisiko berdepan dengan pelbagai kesan negatif yang menjejaskan kehidupan seharian, ekosistem dan ekonomi. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Oleh HAFIZ MUTALIB
16 Ogos 2024, 7:07 am

KANGAR: Peningkatan suhu global dan perubahan pola cuaca tidak menentu berisiko mengancam Malaysia dengan pelbagai kesan negatif yang menjejaskan kehidupan seha­rian, ekosistem serta ekonomi.

Antara kesan langsung yang dapat dilihat akibat pemanasan global di Malaysia adalah penyusutan drastik paras air di tasik-tasik dan kawasan tadahan air utama negara.

ADVERTISING


Fenomena tersebut berlaku disebabkan peningkatan kadar penyejatan air akibat suhu yang semakin panas dan kawasan tadahan air di Lembah Klang antaranya juga mengalami penurunan paras ketara.

Hal demikian turut me­nimbulkan risiko kepada ke­terjaminan air negara ini pada masa hadapan yang boleh membawa kepada krisis bekalan jika tidak ditangani segera.

Norazian Mohamed Noor

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Madya Dr. Norazian Mohamed Noor berkata, kekurangan bekalan air akibat pemanasan global bakal memberi kesan kepada bekalan air domestik.

Selain itu, katanya, pemanasan global membawa kesan buruk yang ketara kepada ekosistem dan biodiversiti di Malaysia.


“Peningkatan suhu dan perubahan corak hujan yang semakin tidak menentu me­ngakibatkan kerosakan yang besar pada habitat semula jadi di negara ini. Hutan hujan tropika, paya bakau, terumbu karang dan kawasan tadahan air antara habitat yang paling terancam. Habitat-habitat ini adalah rumah kepada pelbagai spesies flora dan fauna yang unik serta endemik.


“Namun, apabila suhu meningkat dan corak hujan berubah, banyak spesies ini menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri de­ngan keadaan persekitaran baharu.

Akibatnya, spesies ini berdepan dengan risiko kepupusan yang bukan sahaja merugikan biodiversiti negara tetapi mengganggu keseimbangan ekosistem yang penting untuk kesejahteraan alam sekitar dan manusia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Norazian, perubahan iklim turut mengancam keterjaminan makanan di Malaysia dengan mengganggu sistem pertanian dan perikanan yang menjadi sumber utama bekalan makanan negara.

Katanya, perubahan suhu, corak hujan yang tidak menentu dan cuaca ekstrem seperti kemarau serta banjir memberi impak negatif kepada produktiviti pertanian.

“Tanaman yang lazimnya subur menjadi kurang berhasil manakala ladang ternakan dan kawasan perikanan terjejas akibat perubahan habitat dan sumber makanan tidak menentu.

“Gangguan kepada rantaian makanan ini membawa kepada penurunan hasil pengeluaran makanan yang seterusnya boleh menyebabkan peningkatan harga barangan asas se­perti beras, sayur-sayuran dan ikan yang memberi tekanan kepada ekonomi rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, peningkatan suhu dan perubahan cuaca yang tidak menentu turut memberi kesan kepada kesihatan awam.

Katanya, suhu yang sema­kin tinggi menyumbang kepada peningkatan kes penyakit bawaan vektor seperti demam denggi yang kini semakin membimbangkan.

“Suhu panas juga mempercepat kitaran hidup nyamuk aedes iaitu pembawa utama virus denggi dan memperluas kawasan pembiakan mereka. Keadaan ini menyebabkan penyebaran demam denggi menjadi lebih sukar dikawal, terutama di kawasan bandar yang padat dengan penduduk.

“Selain itu, perubahan cuaca yang ekstrem turut menyebabkan stres haba yang boleh membawa kepada ma­salah kesihatan lain se­per­ti strok haba dan penyakit berkaitan jantung. Golongan yang paling terdedah kepada risiko ini termasuk kanak-kanak, warga emas dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik,” katanya. – UTUSAN

Ulasan