Orang Asli di Nenggiri sedia cipta sejarah esok

Orang Asli di Nenggiri sedia cipta sejarah esok
August 16, 2024

Calon PERIKATAN NASIONAL pada PRK Nenggiri, Mohd Rizwadi Ismail diterima dengan baik oleh masyarakat Orang Asli di Nenggiri.

KUALA LUMPUR: Masyarakat Orang Asli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan membuktikan bahawa seluruh rumpun Melayu termasuklah Orang Asli, bersama-sama mendukung politik penyatuan ummah yang dibawa PERIKATAN NASIONAL (PN) pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) esok (17 Ogos).

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, masyarakat Orang Asli juga akan membuktikan dalam peti undi PRK DUN Nenggiri esok bahawa mereka juga mengimpikan sebuah kehidupan yang lebih terjamin dan sejahtera.

“Salah satu dari 37 tawaran manifesto PERIKATAN NASIONAL (PN) kali ini adalah termasuk berkaitan masyarakat Orang Asli bagi membuktikan kesungguhan PN mahu membela nasib mereka.

“PN menjanjikan lima tawaran untuk Orang Asli iaitu termasuklah melantik Pegawai Pusat Khidmat Wakil Rakyat dari kalangan mereka.

“Ini sudah pasti akan membawa masyarakat Orang Asli bersama arus perdana pembangunan negeri Kelantan dan tidak lagi terpinggir dan tidak diambil kira sebagaimana semasa Barisan Nasional (BN) dahulu,” katanya dalam media sosial miliknya hari ini.

Menurut Pengurus Kanan Program Institut Darul Ehsan, Kamarulbahrin Zahid yang berada di lapangan sejak beberapa minggu di Nenggiri, beliau dilaporkan sebagai berkata, terdapat tanda-tanda yang masyarakat Nenggiri bersedia berubah untuk mengundi PAS.

Buktinya menurut Kamarulbahrin, dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) tersebut, PAS berjaya membuka pos-pos pilihan raya di beberapa penempatan mereka dan diberikan layanan yang sangat baik.

Selain itu, Roslan berkata, satu faktor penting kemenangan calon PN dalam Pilihan Raya Negeri Kelantan yang lalu adalah undian daripada golongan anak muda.

Menurut sebuah akhbar tempatan lagi, 61 peratus dari 12,387 pengundi DUN Nenggiri adalah terdiri dari anak-anak muda antara 18 tahun sehingga 39 tahun.

Justeru berdasarkan keputusan PRN lalu, kesemua peti undi anak-anak muda dimenangi calon PN.

Sehubungan itu, Roslan menjangkakan dalam PRK DUN Nenggiri pada kali ini, trend yang sama dijangka kekal dan tidak mustahil akan disertai kelompok anak-anak muda dari kalangan masyarakat Orang Asli.

“Jika PN berjaya kekal 78 ke 80 peratus sokongan pengundi Melayu (mungkin juga bertambah kali ini memandangkan betapa kecewanya masyarakat Melayu di sini dengan kerjasama Umno dan Pakatan Harapan (PH) yang didominasi DAP… ditambah pula dengan lonjakkan sokongan dari kalangan masyarakat Orang Asli khususnya anak-anak muda mereka, justeru tidak mustahil PN akan mempertahankan kerusi ini esok…, insya-Allah dengan majoriti yang lebih besar,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/8/2024

Ulasan