Pas tidak ‘kebal’ di Kelantan
PILIHAN Raya Kecil (PRK) Nenggiri mempamerkan jika strategi betul, maka Pas pun boleh ditewaskan walaupun di Kelantan.
Oleh ASLINDA NASIR
19 Ogos 2024, 7:30 am
KUALA LUMPUR: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, kelmarin membuktikan Pas tidak kebal di Kelantan meskipun negeri itu ditadbir parti Islam tersebut.
Penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, percaturan BN pada kali ini adalah tepat dan berkesan di mana kemenangan majoriti lebih besar mampu dicapai.
Menurutnya, strategi BN adalah bersesuaian dengan komposisi penduduk Nenggiri yang keseluruhannya adalah Melayu Islam.
“PRK Nenggiri mempamerkan jika strategi betul, maka Pas pun boleh ditewaskan walaupun di Kelantan. Ini menunjukkan Pas masih tidak kebal dan bila bercakap tentang strategi, Tengku Razaleigh Hamzah (Pengarah Pilihan Raya) melihat mesti ada tapisan, siapa yang berkempen di Nenggiri.
“Maksud tersiratnya adalah pemimpin Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP tidak digalakkan atau tidak dibenarkan berkempen. Ini memberi persepsi UMNO walaupun berada dalam kerajaan sama, tetapi berani menongkah DAP dalam perkara ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, melihat kepada strategi disusun mempamerkan UMNO mampu mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Islam sehinggakan kaum itu ‘selesa’ untuk keluar mengundi.
“Sebab itu juga saya melihat yang keluar mengundi 72 peratus adalah penyokong UMNO yang yakin parti itu mampu mempertahankan orang Melayu dan ia berbeza pada 2023 (pilihan raya negeri) yang keluar cuma 62 peratus,” ujarnya.
Bagaimanapun, Azmi menjelaskan, strategi ‘menyisihkan’ Pakatan Harapan (PH) tidak boleh digunakan di PRK DUN Mahkota nanti memandangkan BN memerlukan sokongan bukan Melayu menerusi bantuan daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan seperti PKR dan DAP.
“Kita lihat strategi di Nenggiri mengena pada sasaran, tetapi kalau strategi sama diamalkan di DUN Mahkota, tidak boleh.
“Jadi, UMNO memerlukan PH di Mahkota untuk meraih kemenangan dengan majoriti lebih besar, akhirnya kepercayaan terhadap UMNO dapat ditingkatkan,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan