Pemuda PAS lapor polis individu edit video ucapan MB
August 16, 2024
GUA MUSANG: Tindakan pemilik akaun Wan Mahussim Official mengedit ucapan Menteri Besar (MB) Kelantan sehingga lari daripada maksud asal mengundang padah apabila Pemuda PAS Negeri membuat laporan polis petang ini.
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kelantan, Hanifulfuad Hussin berkata, pemilik Tiktok terbabit mengubah video asal ucapan Menteri Besar dengan memotong perkataan tidak sehingga maksudnya lari sepenuhnya.
Katanya perbuatan individu terbabit dengan niat khianat terhadap ucapan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud dengan tujuan untuk mengelirukan masyarakat.
“Kandungan video sebenar berbunyi ‘Kerajaan Kelantan tidak pernah menebang hutan melebihi kuota yang ditetapkan Majlis Perhutanan Negara.
“Video yang diedit berbunyi ‘kerajaan Kelantan pernah menebang balak melebihi kuota yang ditetapkan Majlis Perhutanan Negara dengan caption Menteri Besar akhirnya mengaku’ dengan suara latar video hutan melalui kandungan suara yang telah diedit,” katanya pada laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah petang ini.
Kata beliau Tiktok video dimuat naik Wan Mahussim Official pada sekitar jam 11 malam pada 14 Ogos 2024.
Oleh itu beliau memohon pihak berkuasa menyiasat sebaran video fitnah dan khianat dan mengambil tindakan undang=undang sewajarnya.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed berkata,
tindakan pihak yang memanipulasi ucapan Menteri Besar memperlihatkan sifat politik populis.
Katanya, individu terbabit didapati dengan sengaja memotong (edit) ucapan sebenar yang berbunyi “Kerajaan Kelantan tidak pernah menebang hutan melebihi kuota yang dibenarkan Majlis Perhutanan Negara” kepada “Kerajaan Kelantan pernah menebang hutan melebihi kuota yang dibenarkan Majlis Perhutanan Negara”.
“Keadaan berpolitik sebegini adalah salah dengan perbuatan tipu dan khianat. Dengan nama lain bertujuan untuk membuat fitnah.
“Kempen memenangkan calon masing-masing masih boleh dilakukan tetapi cara yang dibuat oleh Wan Mahussin adalah tidak beretika dan jahat,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/8/2024
Ulasan
Catat Ulasan