Pilih pemimpin integriti jadi tuntutan agama



Pilih pemimpin integriti jadi tuntutan agama
August 16, 2024

GUA MUSANG: Menjadi kewajipan semua pengundi di DUN Nenggiri untuk keluar mengundi esok bagi memilih pemimpin demi masa depan negara yang lebih baik.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob berkata, setiap undi yang dilaksanakan bagi memilih pemimpin merupakan tuntutan agama dan mendapat pahala disisi Allah SWT.

Katanya DUN Nenggiri mesti dikekal di bawah Perikatan Nasional (PN) yang menampilkan calon wakil rakyat yang berintegriti, anak muda mesra rakyat dan anak jati Nenggiri.

“Saya merayu semua pengundi termasuk anak-anak Kelantan di perantauan di DUN Nenggiri untuk mengundi calon No. 1 Ustaz Rizwadi Ismail dari PN bagi memastikan keutuhan dasar Membangun Bersama Islam di bawah strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam.

“Saya yakin gerak kerja yang tersusun serta sambutan yang amat baik daripada pengundi akan memberi pilihan kepada Undi Bulan esok, insya-Allah,” katanya pada kenyataan di sini.

Beliau yang juga Pengerusi PN Kelantan berharap seluruh jentera PN meneruskan kempen dan gerak kerja di samping tidak putus bermunajat dan bermuraqabah kepada Allah SWT bagi kemenangan calon PN.

Kata beliau kemenangan akan diperoleh apabila dilaksanakan segala syarat yang melayakkan untuk mendapat pertolongan Allah SWT.

Beliau memetic firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu, tetaplah bersiap siaga (melaksanakan tugas), dan bertaqwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat kemenangan.” (Surah Al-Imran: 200) – HARAKAHDAILY 16/8/2024

Ulasan