PRK DUN Mahkota: PN sudah bersiap sedia!


PRK DUN Mahkota: PN sudah bersiap sedia!
August 18, 2024

KLUANG: PERIKATAN NASIONAL (PN) sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.29 Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Naib Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Johor, Ustaz Abdullah Husin berkata, jawatankuasa perhubungan parti komponen itu juga telah merangka gerak kerja awal bagi PRK tersebut.

“Pada malam ini boleh kata sekali guslah ceramah mega ‘Selamatkan Malaysia’ dan juga pengisytiharan bahawa kita sudah pun bersiap sedia untuk menghadapi PRK DUN Mahkota pada malam ini.

“Sebaik sahaja berlaku kekosongan di dalam DUN Mahkota, kita parti-parti dalam PERIKATAN NASIONAL terus dengan segera mengadakan mesyuarat perbincangan dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Johor berkata demikian sewaktu berucap dalam ‘Ceramah Mega Selamatkan Malaysia PERIKATAN NASIONAL Negeri Johor’ di Pejabat BERSATU Bahagian Kluang, di sini semalam.

Katanya, setiap parti komponen PERIKATAN NASIONAL juga telah mengadakan mesyuarat di peringkat parti masing-masing berkaitan PRK tersebut.

“Kemudian walaupun dalam masa yang singkat ini PERIKATAN NASIONAL Negeri telah dua kali mengadakan mesyuarat untuk membuat persiapan bagi menghadapi PRK DUN Mahkota ini.

“Maknanya apa tuan-tuan? Di awal lagi kita sudah menunjukkan komitmen kita, iltizam kita, untuk menghadapi PRK DUN Mahkota ini,” katanya.

Beliau turut mengharapkan agar semua ahli-ahli dan penyokong-penyokong PERIKATAN NASIONAL di semua peringkat akan memberikan komitmen yang sama.

Tambahnya, bukan sahaja jentera tempatan, malah jentera bantu akan datang dari seluruh negara tidak lama lagi sama seperti yang telah berlaku pada PRK Kuala Kubu Baharu, Sungai Bakap dan Nenggiri.

Beliau turut mengakui bahawa bukan sesuatu yang mudah untuk menjadi tuan rumah terutama dalam menyediakan kemudahan kepada jentera bantu, namun sebagai ‘Ansar’ mereka perlu menyediakan yang terbaik untuk ‘Muhajirin’ akan datang membantu nanti.

“Walau bagaimanapun kita akan menyambut kedatangan mereka. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, yang bermaksud ‘barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia memuliakan tetamunya’.

“Sekadar mana yang kita mampu kita sambut petugas-petugas atau pimpinan PERIKATAN NASIONAL yang datang daripada seluruh negara,” katanya.

Turut berucap di dalam majlis tersebut ialah Ketua Penerangan BERSATU Wilayah Persekutuan, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dan Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Juga Pengerusi PERIKATAN NASIONAL Johor, Dato’ Dr Shahruddin Jamal dan pimpinan GERAKAN Johor, Loh Kah Yong.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan bahawa penamaan calon akan dijalankan pada 14 September sementara tarikh membuang undi pula adalah pada 28 September.

DUN Mahkota kosong setelah penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lepas sewaktu dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom akibat pendarahan dalaman.

Allahyarham memenangi kerusi itu PRN Johor yang diadakan pada Mac 2022 dengan mendapat 16,611 undi dan mencatatkan majoriti sebanyak 5,166 menewaskan calon PN dan Pakatan Harapan (PH). – HARAKAHDAILY 18/8/2024

share & sebarkan:

Ulasan