‘PRK ini kita pilih bulan, tinggal warna biru’



‘PRK ini kita pilih bulan, tinggal warna biru’
August 14, 2024

Share
Mohd Rizwadi Ismail menyantuni Orang Asli di Pos Tohoi.

GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli dari Pos Tohoi, Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias akan terjejas apabila projek Janakuasa Hidroelektrik Nenggiri beroperasi beberapa tahun lagi.

Bagaimanapun mereka bersyukur kerana kerajaan negeri meluluskan kawasan lebih 2,000 ekar bagi membangun penempatan baharu dijangka boleh diduduki pada pertengahan 2026.

Pemimpin masyarakat di Pos Pulat Ustaz Basri Abdullah berkata, penempatan baharu tersebut akan dilengkapi perumahan, ladang getah dan tapak dusun sebagai sumber pendapatan penduduk.

Selain itu katanya bantuan sara hidup bulanan sehingga ladang mengeluarkan hasil.

“Kami merakam ucapan terima kasih kepada kerajaan negeri. Pada pilihan raya kali ini kita akan pilih bulan pula, tinggal warna biru.

“Penduduk yang lain juga memberitahu mahu tukar kepada warna hijau belaka. Ini warna pokok dan hutan kita,” katanya pada program ziarah NGO Misi Kembara Dakwah ke Pos Pulat baru-baru ini.

Menurutnya juga sebelum ini penduduk Orang Asli mudah percaya kepada pemimpin mereka, sebaliknya sekarang tidak lagi kerana mudah mendapat maklumat melalui internet.

Empangan Nenggiri dibina di Nenggiri melibatkan kos RM5 bilion bagi menjana 300 mega watt (MW) elektrik dijangka beroperasi pada 2027.

Projek tersebut akan mewujudkan kawasan takungan seluas 5,384 hektar dijangka dapat membantu mengurangkan banjir di Kelantan kerana empangan berfungsi sebagai kawasan tadahan. – HARAKAHDAILY 14/8/2024

Ulasan