Purata lima kes bunuh seminggu


Purata lima kes bunuh seminggu
RAZARUDIN HUSAIN
Oleh NURAINA HANIS ABD . HALIM
16 Ogos 2024, 7:35 am

PETALING JAYA: Secara purata lima kes bunuh berlaku dalam seminggu di negara ini dalam tempoh tiga tahun sejak 2021 hingga Jun lalu.

Jumlah itu membabitkan sebanyak 860 kes dicatatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara dalam tempoh berkenaan.

Mengikut rekod, jumlah kes tersebut melibatkan 947 mangsa yang sebahagian besar melibatkan golongan lelaki iaitu seramai 729 orang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua 860 kes yang dilaporkan melibatkan 243 kes pada 2021; 240 kes (2022), 258 kes (2023) manakala 119 kes bagi enam bulan pertama tahun ini.

Katanya, berdasarkan analisis, kesemua mangsa melibatkan 657 warga tempatan manakala 290 lagi adalah warga asing serta 13 lagi tidak dapat dikenal pasti identitinya.

Beliau berkata, kategori mangsa membabitkan 62 kanak-kanak; 106 individu berusia antara 15 tahun hingga 25 tahun, 541 orang berusia antara 26 hingga 60 tahun manakala 98 mangsa lingkungan umur 60 tahun ke atas dan 140 lagi tidak diketahui maklumat.


“Daripada 860 kes dalam tempoh terbabit, sebanyak 825 kes iaitu 95 peratus dapat diselesaikan hasil kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman serta maklumat orang ramai.

“Seramai 1,658 individu turut ditahan membabitkan 950 warga tempatan dan 708 warga asing.

“Dalam tempoh sama, sebanyak 323 kes daripada 860 kes bunuh dipercayai berpunca daripada pertengkaran dan perselisihan faham,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Razarudin, sebanyak 62 kes pula akibat cemburu, mabuk dan khayal (65 kes), balas dendam (46 kes) dan samun serta curi (43 kes).

Dalam tempoh terbabit, kata beliau, sebanyak 35 kes bunuh dipercayai kerana dera; hutang (32 kes); dadah (20 kes); tidak siuman (15 kes); cuai (16 kes) dan rogol (11 kes).

“Sebanyak tujuh kes bunuh akibat pemerasan, kongsi gelap (emat kes), menyembunyikan kelahiran dan culik masing-masing tiga kes manakala 167 kes lagi belum dapat dipastikan.

“Walaupun jumlah kes ini dilihat kecil namun trend jenayah bunuh yang meningkat dari 2021 hingga tahun lalu agak membimbangkan.

“Bagaimanapun, polis melalui JSJ komited dalam menyelesaikan kes-kes bunuh dilaporkan malah ia terbukti apabila kira-kira 95 peratus kes berjaya diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

Ulasan