Seorang wanita dirogol setiap 15 minit


Seorang wanita dirogol setiap 15 minit
PROFESIONAL perubatan dan aktivis memegang poster serta lilin ketika mengambil bahagian dalam protes tengah malam, bagi mengutuk kes rogol dan pembunuhan doktor pelatih di Kolkata, pada 14 Ogos lepas.- AFP
Oleh Athirah Huda Zalhe
17 Ogos 2024, 8:00 am

NEW DELHI: Kes rogol dan pembunuhan seorang doktor pelatih di Kolkata minggu lalu mendorong golongan wanita di India turun ke jalanan, sebagai protes terhadap kadar keganasan seksual yang terus meningkat walaupun terdapat pembaharuan dalam undang-undang dan hukuman.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan perubahan besar dalam sistem keadilan jenayah, termasuk mengenakan hukuman yang lebih berat, selepas kes rogol beramai-ramai dan pembunuhan seorang wanita berusia 23 tahun di dalam sebuah bas di New Delhi pada 2012.

Malangnya, para aktivis menyifatkan hanya sedikit perubahan yang berlaku daripada reformasi itu.

Menurut data Biro Rekod Jenayah Kebangsaan (NCRB), polis merekodkan sehingga 25,000 kes rogol setiap tahun di seluruh India, sekitar masa serangan pada 2012.

Sejak itu, jumlah tahunan kekal melebihi 30,000 kecuali ketika pandemik Covid-19 pada 2020, yang menyaksikan penurunan mendadak.

Serangan memuncak hampir 39,000 pada 2016, manakala secara purata seorang wanita melaporkan kes rogol setiap 15 minit di seluruh negara pada 2018, menurut laporan kerajaan.


Terdapat lebih daripada 31,000 kes rogol dilaporkan pada 2022, data yang tersedia untuk tahun terkini.

Jumlah itu kekal tinggi walaupun pihak berkuasa meningkatkan hukuman, termasuk hukuman minimum 10 tahun dengan kemungkinan dilanjutkan seumur hidup, atau hukuman mati jika mangsa berusia bawah 12 tahun.

Ini termasuk pembaharuan undang-undang lain seperti meluaskan definisi rogol untuk merangkumi tindakan bukan penetratif, menubuhkan mahkamah pengadilan pantas dan mengurangkan had umur pelaku supaya remaja berusia 16 tahun boleh diadili sebagai orang dewasa untuk kesalahan tersebut.

KADAR SABITAN RENDAH

Data NCRB menunjukkan, kadar sabitan untuk kes rogol adalah antara 27 peratus dan 28 peratus dari 2018 hingga 2022.

Sepanjang tempoh itu, kadar sabitan tersebut adalah kedua terendah di antara lima jenayah berat termasuk pembunuhan, penculikan, rusuhan dan menyebabkan kecederaan yang teruk.

Peguam jenayah, Rebecca M. John berkata, beberapa hakim lebih enggan untuk sabitkan kes sejak hukuman berat diperkenalkan.

“Jika seorang hakim merasakan terdapat keraguan dan dia perlu menjatuhkan hukuman seumur hidup tanpa pengampunan atau mungkin hukuman mati, berdasarkan bukti yang tidak memenuhi semakan kehakiman, maka pelaku terpaksa dibebaskan.

“Sebaliknya, jika dia mempunyai sedikit budi bicara dalam perkara tersebut, dia mungkin dapat menurunkan hukuman, memastikan pelaku disabitkan kesalahan,” katanya.

KES UTAMA SEJAK 2012

Beberapa kes yang mendapat liputan meluas mengekalkan krisis ini dalam tajuk utama sejak 2013.

Pada 2018, seorang lelaki berusia 26 tahun di tengah India dijatuhkan hukuman mati, tiga minggu selepas penangkapannya, kerana dituduh merogol dan membunuh seorang bayi perempuan.

Tahun berikutnya, polis menembak mati empat lelaki yang disyaki merogol dan membunuh seorang doktor veterinar berusia 27 tahun, berhampiran bandar selatan Hyderabad.

Suspek yang ketika itu berada dalam tahanan polis, ditembak mati berhampiran tempat kejadian kerana cuba merampas senjata pegawai yang mengiring mereka.

Sementara itu, kes rogol beramai-ramai terhadap seorang gadis berusia 19 tahun di daerah Hathras pada 2020 dan kematiannya beberapa minggu kemudian di hospital, mencetuskan kemarahan di seluruh negara.

Ulasan