Sudah 67 tahun, merdekakah jiwa kita?

Sudah 67 tahun, merdekakah jiwa kita?
Oleh Yulpisman Haji Asli
31 Ogos 2024, 7:02 am


Hari ini, kita meraikan Hari Kemerdekaan negara yang ke-67. Se­tinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT ke­rana dengan izinNya, Malaysia terus aman, makmur dan sejahtera.

Pada kali ini, `Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ dipilih sebagai tema sambutan.

Malaysia Madani yang dipelopori oleh Kerajaan Perpaduan, merupakan tunjang kepada kemakmuran dan kemajuan negara Malaysia yang disokong oleh enam nilai teras utama iaitu Kemampanan, Hormat, Kesejahteraan, Keyakinan, Daya Cipta dan Ihsan.

Manakala ‘Jiwa Merdeka’ pula menggambarkan kebebasan rakyat Malaysia daripada elemen negatif. Ia juga menekankan semangat patriotisme dan cinta negara; melibatkan aspek pemikiran, integrasi sosial dan ekonomi; membentuk satu kesatuan rakyat yang kukuh, harmoni, dan progresif.

Secara keseluruhannya, ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ merupakan lambang kesejahteraan negara dan rakyat Malaysia secara holistik. Ia juga menekankan kemajuan dan progresif untuk rakyat berbilang kaum, menyatukan hati dan teguh pada jati diri negara.

Sudah 67 tahun Malaysia merdeka. Dari segi fizikal, banyak pembangunan dikecapi, daripada bangunan pencakar langit yang mana Malaysia antara negara paling banyak bangunan pencakar langit di dunia, hingga kepada kemajuan prasarana. Malah, masih banyak lagi pembangunan dirancang oleh kerajaan dan swasta di seluruh negara, yang bakal mengangkat lagi kedudukan Malaysia di pentas antarabangsa.


Perancangan itu juga membolehkan Malaysia kembali me­ngukuhkan pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dengan pakar-pakar mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2024 boleh melepasi sasaran 4 hingga 5 peratus. Ia didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan pada suku pertama dan kedua masing-masing pada 4.2 dan 5.9 peratus, melepasi ramalan banyak pihak.

Prospek ekonomi negara yang berdaya tahan dan berkembang itu turut mendorong banyak syarikat besar asing untuk melabur di Malaysia, seperti Amazon yang menyatakan komitmen pelaburan berbilion ringgit. Hasil pelaburan itu bakal dirasai oleh rakyat Malaysia.

Namun, bagaimana pula aspek minda dan jiwa warga Malaysia? Kebelakangan ini, masih banyak pihak menyentuh isu 3R (Bangsa, Agama dan Raja). Sedangkan, perkara itu juga terkandung dalam Rukun Negara yang selama ini tunjang kepada kerukunan dan penyatuan rakyat berbilang kaum di Malaysia. Dengan populasi lebih 34 juta, Malaysia sehingga kini mampu mengecapi kejayaan demi kejayaan disebabkan tolerasi rakyatnya yang mendukung prinsip Rukun Negara.

Jika seorang manusia, pada usia 67 tahun, dia telah memiliki segala-galanya. Malah, pada usia itu juga seorang pekerja telah bersara dan menikmati hasil penat lelah daripada pekerjaannya selama ini.

Berbeza dalam konteks sebuah negara. Makin ‘berumur’ negara itu, makin banyak kemajuan dan tamadun hendak dicipta. Kemajuan itu didorong oleh kemunculan teknologi dan pelbagai inovasi yang dicetuskan terutama oleh generasi muda. Begitulah juga Malaysia, bertambah usia kemerdekaan negara, semakin bertambah kemajuan yang bakal dilaksanakan dan dicipta.

Bagaimanapun, apa berlaku sekiranya generasi muda ada tidak ada ‘Jiwa Merdeka?’ Maka itu, sewajarnya tema sambutan Hari Kebangsaan kali ini dihayati sepenuhnya oleh rakyat, terutama ge­nerasi muda. Jangan kita hanya bermegah merai dan menyambut Hari Kemerdekaan, tetapi kosong jiwanya.

Satu kerugian jika negara meraikan sambutan Hari Kemerdekaan penuh meriah, jiwa rakyat pada hakikatnya masih dibelanggu penjajahan dalam bentuk baharu. Malaysia sudah berjaya memerdekakan diri daripada penjajahan fizikal 67 tahun lalu, bagaimana pula dengan jiwa rakyatnya?

Yulpisman Asli adalah Pengarang Berita Utusan Malaysia – UTUSAN

Ulasan