Tindakan Amanah Johor, Kluang keruhkan keadaan
Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
16 Ogos 2024, 6:01 pm
JOHOR BAHRU: Tindakan Parti Amanah Negara (Amanah) Johor khususnya Amanah Kluang yang berkeras mahu bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada bulan depan merosakkan hubungan harmoni yang sedia terjalin di negeri ini.
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, malah ia juga akan menyukarkan pembentukan gabungan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang atau pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Saya tertanya-tanya, mengapa tiada angin dan tiada ribut, Ketua Amanah Kluang, Dr. Mohd. Zuhan Mohd. Zain terus mengeluarkan kenyataan terbuka seolah-olah cuba mengugut dan cuba memporak-perandakan hubungan harmoni yang sedia terjalin di negeri ini.
“Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu pun sudah menjelaskan dan menyatakan pendirian untuk memberikan laluan kepada parti penyandang di kerusi-kerusi yang dipertandingkan dalam mana-mana PRK.
“Jika inilah sikap yang ditunjukan oleh Amanah Kluang dan Amanah Johor, saya lihat rundingan bagi membentuk satu gabungan baharu menjelang PRN mahupun PRU16 agak sukar menjadi realiti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin mengingatkan Amanah Johor tidak lupa diri atas jasa Barisan Nasional (BN) yang bertungkus lumus menggerakkan jentera parti bagi memenangkan calon mereka di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan