Tragedi kepala air Jerai ubah sosioekonomi penduduk
FUZIAH Morad menunjukkan gambar kenangan dua arwah abangnya, Zainol dan Abdullah yang meninggal dunia dalam kejadian kepala air tiga tahun lalu ketika ditemui di Yan, Kedah, semalam.
Oleh OTHMAN YAHAYA
18 Ogos 2024, 8:35 am
YAN: Tragedi kepala air yang melanda daerah ini khususnya kawasan peranginan Titi Hayun telah mengubah sosio ekonomi penduduk menyebabkan destinasi pelancongan itu kini hanya tinggal nama.
Seorang mangsa, Sabariah Saad, 55, yang tinggal di tepi Sungai Bakong di Kampung Setol berkata, sebelum kejadian kepala air, kampung itu dikenali sebagai salah satu lokasi pelancongan yang menyediakan chalet dan inap desa kepada pengunjung luar.
“Namun, kejadian itu akhirnya menyebabkan pengunjung takut bercuti ke daerah ini kerana bimbang keselamatan mereka hingga menyebabkan kami yang mengusahakan inap desa putus pendapatan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Seorang lagi penduduk, Che Bunga Che Saad, 61, pula berkata, ‘jenama’ Titi Hayun yang menjadi kebanggaan penduduk setempat sebagai destinasi pelancongan terkenal kini hanya tinggal nama ekoran bencana itu.
“Dulu ramai pengunjung berkelah di Titi Hayun, Seri Perigi dan Batu Hampar kerana mempunyai tempat mandi-manda menarik. Tetapi tempat itu kini dipenuhi batu-batu besar manakala tiada lagi laluan air untuk dijadikan tempat berkelah pengunjung,” katanya.
Malah, kejadian kira-kira pukul 4.30 petang, 18 Ogos 2021 itu ibarat mimpi ngeri yang sukar dipadam mereka khususnya waris terdekat kepada enam mangsa yang terkorban dalam kejadian itu.
Fuziah Morad, 56, berkata, setiap kali hujan dia sering terkenangkan arwah abangnya, Zainol yang merupakan mangsa pertama ditemukan meninggal dunia oleh pasukan penyelamat selepas tragedi itu.
“Masih terbayang kelibat arwah singgah di rumah saya di Kampung Permatang Keramat pada hari kejadian sebelum 11 jam kemudian dia ditemukan mati berdekatan kebun buah-buahan miliknya di kaki Gunung Jerai,” katanya.
Anak bongsu daripada lima beradik itu berkata, suasana menjadi lebih hiba apabila seorang lagi abangnya, Abdullah yang terselamat dalam kejadian itu akhirnya meninggal dunia enam bulan kemudian.
Sementara itu, Komander Pasukan Khas Must Team Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Jamil Mat Daud berkata, dia masih terbayang operasi menyelamat mangsa terperangkap di lokasi kejadian ketika itu.
Katanya, pasukan bomba menghadapi kesukaran melakukan pencarian disebabkan kawasan itu gelap dan penuh dengan batu besar serta pokok yang dihanyutkan air deras.
“Kami menemukan satu-satunya mangsa yang terselamat iaitu Abdullah di sebalik timbunan pokok, manakala abangnya ditemukan meninggal dunia dalam keadaan dihempap batu besar berdekatan kebun mereka,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan