Ungkapan terima kasih yang cukup bermakna


Ungkapan terima kasih yang cukup bermakna

PROJEK komuniti amat digalakkan dilakukan secara berkumpulan, berkala atau hanya sekali bagi memberi hasil dan impak kepada komuniti yang disasarkan.
Oleh Meja Rencana
5 Ogos 2024, 9:00 am

SAUDARA PENGARANG,

KHIDMAT masyarakat atau juga dikenali sebagai projek komuniti dapat didefinisikan sebagai kerja kemasyarakatan yang dilaksanakan secara berkumpulan, mempunyai misi yang murni bagi membantu secara langsung atau tidak langsung masalah yang dihadapi oleh komuniti tertentu.

Secara amnya, kerja kemasyarakatan atau projek komuniti adalah bagi meringankan beban, memberi manfaat serta kesejahteraan kepada komuniti tertentu. Projek komuniti amat digalakkan dilakukan secara berkumpulan, berkala (secara berterusan) bukan bersifat hanya sekali (one-off) kerana bagi memberi hasil dan impak kepada komuniti yang disasarkan.

Di peringkat universiti, projek komuniti sering dijalankan oleh pensyarah, kakitangan atau pelajar universiti. Pelbagai inisiatif dijalankan oleh pihak kementerian dan juga universiti agar dapat menarik minat warga universiti menjalankan atau turut terlibat menjalankan projek komuniti.

Antara inisiatif kementerian dan universiti bagi menarik minat warga universiti menjalankan projek komuniti adalah dengan penawaran geran dan juga dana komuniti.

Selain itu, pihak pengurusan universiti juga menawarkan pelbagai inisiatif untuk warga universiti yang menjalankan projek komuniti seperti majlis anugerah pencapaian, penghasilan; kejayaan projek komuniti juga dikira dalam markah bagi prestasi tahunan, ucapan penghargaan, terima kasih; tahniah dan banyak lagi.


Warga universiti tidak kira kakitangan akademik, staf bukan akademi dan pelajar diharapkan dapat menjalankan projek komuniti seterusnya dapat melaksanakan pemindahan ilmu kepada ahli komuniti yang terlibat.

Antara contoh projek komuniti yang boleh dijalankan adalah membantu golongan B40, komuniti orang kurang upaya (OKU) dan komuniti jalanan seperti kanak-kanak gelandangan.

Kenikmatan menjalankan projek komuniti akan dirasai apabila komuniti berjaya dibantu dan ucapan penghargaan ringkas seperti “terima kasih abang” atau “terima kasih adik” cukup untuk membahagiakan kita.-UTUSAN


DR. MUHAMMAD MAJID dan DR. MOHAMAD FAIZAL RAMLI

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor

Ulasan