4 tokoh dinobat anugerah pada Muktamar PAS
September 14, 2024
TEMERLOH: Empat individu hebat dinobatkan menerima anugerah Tokoh Istiqamah PAS sempena Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-70 yang diadakan di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini hari ini.
Anugerah berkenaan bertepatan dengan sumbangan serta penglibatan bersama PAS, masyarakat serta istiqamah menggalas tanggungjawab parti yang diamanahkan.
Penerima pertama, Tuan Guru Sidek Nor, merupakan bekas pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Ketua Dewan Ulama PAS Perak dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak.
Penerima kedua, Mejar (B) Abd Aziz Yaakub, pernah diberi amanah sebagai Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.
Beliau juga pernah bertanding pada beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Pahang, sementara pernah menang di Dun Guai pada PRU10, 1999.
Ismail Mohamad atau lebih mesra dengan panggilan Ayah Ngah turut menerima anugerah, merupakan mantan Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Pengerusi Sidang Assabiqun PAS Pahang dan Timbalan Assabiqun PAS Pusat serta terlibat dengan PAS selama 55 tahun.
Penerima Tokoh Istiqamah PAS keempat iaitu Azizah Ali merupakan bekas calon DUN Teruntum pada PRU13 dan kini memegang jawatan sebagai Naib Ketua Dewan Muslimat Kuantan, Pengerusi Assabiqat PAS Kuantan dan Timbalan Ketua Assabiqat PAS Negeri Pahang.
Muktamar Tahunan PAS Pusat hari ini juga menganugerahkan Tokoh Jasamu Dikenang kepada Al-Marhum Tuan Guru Abdul Wahab Hassan atau lebih dikenali sebagai Tuan Guru Awang Lanai.
Beliau merupakan anak kelahiran Kedah yang banyak menumpukan perhatian kepada institusi pengajian pondok ketika hayatnya malah sebelum membuka pondoknya sendiri di Parit Panjang, Baling pada 1988.
Penerima Tokoh Jasamu Dikenang ini juga pernah diberi kepercayaan sebagai Yang Dipertua PAS Kawasan Baling dan Ahli Majlis Daerah Baling.
Pemergiaannya ke sisi Pencipta pada 10 Ogos lalu, meninggalkan legasi besar dalam dunia keagamaan pendidikan Islam di Malaysia.
Dalam pada itu Tokoh Harmoni dinobatkan kepada penerima tunggal bukan Melayu tunggal iaitu G. Ramakrisnan yang merupakan anak jati Pahang dan pernah terlibat selama 15 tahun bersama Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Jerantut.
Pernah berkhidmat sebagai Ketua Persatuan Hindu Malaysia, Pahang dan Ahli Jawatankuasa DHPP Pahang.
Semua hadiah anugerah itu disampaikan oleh Presiden PAS, Tan Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, sementara Yang Dipertua PAS Baling, Ustaz Hassan Saad, menerima mewakili Al-Marhum Tuan Guru Abdul Wahab Hassan. – HARAKAHDAILY 14/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan