40,000 Rohingya tunggu peluang lari ke Bangladesh
PELARIAN Rohingya terkandas di atas bot selepas masyarakat berhampiran tidak membenarkan mereka mendarat di Pineung, wilayah Aceh pada 16 November 2023.- AFP
Oleh Athirah Huda Zalhe
10 September 2024, 8:05 am
DHAKA: Kira-kira 10,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dalam tempoh dua minggu lepas, berikutan konflik berterusan antara junta tentera yang memerintah dan kumpulan pemberontak.
Sekitar 1.2 juta Rohingya berlindung di Bangladesh sejak Ogos 2017 kerana melarikan diri daripada tindakan keganasan tentera di negeri Rakhine, Myanmar.
Majoriti mereka terpaksa tinggal di kem yang sesak di Cox’s Bazar, dengan kira-kira 35,000 orang sudah dipindahkan ke Pulau Bhasan Char sejak akhir 2020.
Ketua pegawai kerajaan di tenggara Teknaf, Md Adnan Chowdhury berkata, setakat ini sukar untuk mengenal pasti jumlah sebenar pelarian memandangkan setiap hari ratusan Rohingya merentasi sempadan.
“Kira-kira 400 Rohingya merentasi Bangladesh pada tengah malam Sabtu, kerana melarikan diri daripada kawalan keselamatan sempadan.
“Konflik besar disyaki berlaku, sementara bunyi tembakan dan peluru mortar kedengaran selama tiga hari di bandar sempadan. Kami berada dalam keadaan ketakutan di kawasan sekitar sempadan di Teknaf,” katanya.
Chowdhary berkata, sekurang-kurangnya 70 mayat dengan kesan tembakan ditemukan di sepanjang sempadan sungai dan laut dengan Myanmar dalam tempoh sebulan lalu.
“Kami mengebumikan mayat-mayat itu dengan bantuan daripada penduduk tempatan,” katanya.
Beliau mengesyaki mayat terbabit dibunuh semasa konflik di dalam Myanmar dan jasad mereka dihanyutkan ke Bangladesh melalui sempadan maritim, termasuk Sungai Naf dan Teluk Bengal.
Sementara itu, kira-kira 40,000 Rohingya berkumpul di sepanjang sempadan Teknaf dan menunggu peluang untuk melintasi Bangladesh, lapor akhbar tempatan, Samakal.
Chowdhury berkata, rondaan di sepanjang Sungai Naf dan sempadan dipertingkatkan untuk mengelakkan penyusupan selanjutnya berlaku.
PERCEPATKAN PENEMPATAN SEMULA
Susulan perkembangan itu, Penasihat Utama kerajaan sementara Bangladesh, Muhammad Yunus menggesa menggesa penempatan semula etnik Rohingya di negara ketiga dipercepatkan.
Gesaan mempercepatkan usaha penempatan semula dibuat semasa pertemuan dengan Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), kelmarin.
Yunus berkata, proses penempatan semula pelarian harus mudah, teratur dan lancar bagi menangani lambakan pelarian di kem-kem Bangladesh.
Beliau berkata, usaha itu juga untuk menangani gelombang baharu pelarian Rohingya yang merentas sempadan akibat peningkatan keganasan di Rakhine.
Menurut kenyataan dari Pejabat Penasihat Utama, Washington menegaskan komitmennya untuk menempatkan ribuan Rohingya di Amerika Syarikat (AS), tetapi proses itu masih belum dipercepatkan.
Sementara itu, Ketua IOM di Bangladesh, Abdusattor Esoev berkata, penempatan semula Rohingya ke negara ketiga disambung semula pada 2022 selepas terhenti selama 12 tahun.
Kedatangan ribuan Rohingya ke Bangladesh akan menyesakkan lagi jumlah penduduk di kem pelarian yang semakin padat di Cox’s Bazar.
Sejak konflik tercetus, nasib pelarian Rohingya untuk kembali ke tanah air mereka semakin mustahil, apatah lagi kebanyakannya dinafikan kewarganegaraan dan hak asasi lain.
Peningkatan keganasan baru-baru ini adalah yang paling buruk dihadapi oleh Rohingya sejak kempen dipimpin tentera Myanmar pada 2017, yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai berniat melakukan pembunuhan beramai-ramai.
Ini susulan pertempuran sengit antara junta pemerintah Myanmar dan Tentera Arakan, sebuah etnik yang kuat daripada majoriti penganut agama Buddha di negara itu.
Ulasan
Catat Ulasan