500 sukarelawan Khidmat Malaysia ke tiga negeri utara

500 sukarelawan Khidmat Malaysia ke tiga negeri utara

Beri bantuan kepada mangsa banjir
September 22, 2024
Dato' Ustaz Ahmad Yahaya turut membantu petugas Dapur Rakyat menyediakan makanan kepada mangsa banjir

POKOK SENA: Seramai 500 sukarelawan Khidmat Malaysia akan digerakkan membantu mangsa banjir khususnya untuk kerja-kerja pembersihan premis di tiga negeri utara Semenanjung.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ustaz Dato’ Ahmad Yahaya memaklumkan, setakat ini 200 tenaga sukarelawan sama ada Khidmat Malaysia mahupun Jabatan Amal sudahpun digerakkan.

Jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, ketika ini tenaga-tenaga tersebut telah membantu membersihkan rumah-rumah mangsa banjir yang telah pulang dari Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Tetapi setakat ini tenaga kita agak terhad, tidak dapat memenuhi semua permintaan. Kita lebih memberi penumpuan operasi mencuci di surau atau masjid yang terjejas.

“Termasuk rumah warga emas yang uzur serta tidak mempunyai anak atau saudara mara untuk membantu,” jelas beliau pada sidang media di Markas PAS Pokok Sena, Langgar, di sini hari ini.

Selain banjir, Kedah juga katanya, mengalami musibah angin ribut yang menyebabkan kerosakan kepada banyak kediaman di beberapa daerah, serta kejadian pokok tumbang.

Berikutan itu tambah beliau, sukarelawan Khidmat Malaysia bersama Jabatan Amal bertindak membantu petugas agensi-agensi kerajaan membersihkan rumah mangsa ribut dan memindahkan mangsa banjir ke PPS.

“Semua kerja-kerja ini dilakukan secara bersepadu dengan kerjasama semua pihak. Keadaan juga terurus dan terkawal,” tambah beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat.

Selain itu kata Ahmad, Khidmat Malaysia juga menggerakkan Dapur Rakyat, menyediakan makanan untuk disumbangkan kepada mangsa banjir yang terjejas.

Setakat ini jelas beliau, tiga Dapur Rakyat telah digerakkan iaitu di Markas PAS Pokok Sena sebagai induk dan dua lagi di DUN Anak Bukit dan Pendang.

Sementara itu beliau juga berkata, Khidmat Malaysia mengalu-alukan sumbangan orang ramai sama ada dalam bentuk wang tunai atau barangan keperluan.

“Apatah lagi di fasa pemulihan ini, banyak benda yang diperlukan mangsa, jadi boleh kita pakat-pakat sumbang dan bantu,” katanya lagi.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Khidmat Malaysia Pusat, Nazree Aris dan Pengarah Khidmat Malaysia Kedah, Ustaz Nurul Amin Hamid.

Dalam pada itu semua penyusunan petugas dan sukarelawan sama ada dari dalam atau luar Kedah, akan beroperasi di markas induk sebelum digerakkan ke tempat-tempat yang ditetapkan.

“Semua lokasi dan rumah sasaran operasi mencuci oleh sukarelawan akan dikenal pasti oleh Majlis Ketua Kampung (MKK) dan keutamaan kepada yang benar-benar memerlukan bantuan,” tambah beliau lagi. – HARAKAHDAILY 22/9/2024

Ulasan