763 terima pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan


763 terima pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan
September 28, 2024


KOTA BHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan kehormatan kebesaran negeri kepada 763 penerima sempena Ulang Tahun Keputeraan Ke-55 esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad berkata, istiadat tersebut yang berlangsung di Istana Balai Besar di sini bermula jam lapan pagi Ahad bagi sesi pertama.

Menurutnya menjunjung titah perintah dan limpah kurnia Sultan Muhammad V turut melantik tiga individu sebagai Jaksa Pendamai sempena perayaan ulang tahun tahun ini.

“Baginda turut perkenan mengurniakan satu Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan dan 35 darjah kebesaran lain yang membawa gelaran Dato’.

“Tiga orang juga dilantik Jaksa Pendamai sempena ulang tahun keputeraan Sultan Muhammad V yang ke-55,” katanya pada sidang media di Istana Balai Besar di sini hari ini.

Hadir sama, Pengelola Istana D’Raja Kelantan, Dato’ Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dan Ketua Istiadat Kelantan, Mejar Jeneral (B) Dato’ Mamat Ariffin Abdullah.

Menurutnya, istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat itu akan diadakan dalam dua sesi yang masing-masing membabitkan lebih 100 penerima pingat kebenaran negeri.

Sambutan itu dijalankan merangkumi istiadat malah meliputi pengisian bersama rakyat seperti Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat di seluruh Masjid Jajahan Kelantan.

Baginda bersama rakyat berangkat mencemar duli menghadiri Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat di Masjid Jamek Al Ismaili, Bandar Baru Pasir Pekan Tumpat malam Jumaat.

Semalam baginda menunaikan solat Jumaat dan jamuan rakyat di Masjid Zairiz Al-Iman, Mukim Kedai Buloh di sini dan banyak lagi aktiviti sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-55. – HARAKAHDAILY 28/9/2024

Ulasan