Akan berjayakah Akta 852?
Oleh Ismail Daud
30 September 2024, 7:10 am
SELEPAS beberapa kali ditangguhkan, akhirnya Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) akan mula berkuat kuasa esok, 1 Oktober. Ia merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan dan larangan merokok di tempat awam.
Penguatkuasaannya dilihat bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, meningkatkan tahap kesihatan awam tetapi juga mampu mengurangkan pencemaran alam sekitar. Paling penting, ia disasar untuk membendung aktiviti merokok termasuk rokok elektronik daripada terus berleluasa dalam kalangan generasi muda.
Akhirnya nanti, perbelanjaan kerajaan dapat dijimatkan apabila semakin kurang individu dimasukkan ke hospital angkara aktiviti dan ketagihan rokok dan rokok elektronik.
Akta itu juga diharapkan akan menguatkan azam perokok yang mahu berhenti untuk mencapai cita-cita mereka itu. Selama ini, tidak ramai yang berjaya walaupun menyedari bahaya merokok.
Ketagihan nikotin membuatkan mereka mengabaikan bahaya rokok.
Namun, penguatkuasaan akta itu pasti akan membawa impak kepada beberapa pihak. Antaranya ialah pengusaha dan peniaga rokok elektronik. Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura turut menyuarakan kebimbangan dan jangkaan penurunan pendapatan.
Alasan yang diberikan ialah tempoh waktu yang terlalu singkat sebelum akta itu dikuat kuasa iaitu selama tujuh hari sahaja. Mereka mendakwa tidak sempat membuat pengubahsuaian bagi mematuhi akta itu khususnya melibatkan stok-stok lama produk yang berada dalam simpanan.
Wajarkah rintihan mereka itu didengar? Selepas bertahun-tahun mengaut untung besar, tiba-tiba merintih akan rugi pula. Kerajaan diharap tidak ‘terpedaya’ dengan rintihan tersebut dan berlembut.
Sepatutnya mereka dan pemain industri tersebut yang menjana berbilion ringgit setahun sudah lama bersedia kerana akta itu sudah beberapa kali ditangguhkan. Perincian akta itu sudah lama diketahui.
Justeru, teruskan sahaja penguatkuasaan itu. Seperti biasa, apabila ada undang-undang baharu, pasti ada pelbagai pendapat dan cerita yang didengar tetapi lama-kelamaan industri dan masyarakat akan terbiasa.
Setelah Akta 852 dikuatkuasakan, kerajaan sudah boleh memikirkan untuk memasukkan semula elemen Generasi Penamat (GEG) ke dalam akta itu pada masa depan. Elemen GEG sudah ada dalam akta tersebut tetapi dikeluarkan selepas dua hari perbahasan di Dewan Rakyat. Rasionalnya pada ketika itu ialah untuk mempercepatkan Akta 852 kerana elemen GEG ada beberapa implikasi yang boleh mengganggu akta itu dilaksanakan segera.
Selain itu, turut harus menjadi keutamaan kerajaan selepas ini ialah isu penyeludupan rokok dan vape yang dijangka meningkat berikutan penguatkuasan Akta 852. Jika kerajaan berhasrat menaikkan cukai tembakau dan vape dalam belanjawan tahun depan, aktiviti itu pasti lebih rancak. Agensi yang terlibat perlu bersiap sedia.
Hakikatnya, isu rokok adalah isu yang sangat kompleks untuk ditangani dan tidak akan sama di antara negara. Kaedah yang digunakan dan berjaya di negara lain mungkin tidak boleh diguna pakai di negara lain kerana latar belakang dan pendidikan masyarakat yang berbeza.
Justeru, sangat menarik untuk melihat pelaksanaan dan keberkesanan Akta 852 ini.
Ismail Daud adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia/Mingguan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan