‘Akmal biadab mahu tampal logo tak halal pada dahi Teresa’
Diterbitkan: Sep 9, 2024 12:32 PM
Dikemaskini: 1:34 PM
Ketua Pemuda DAP, Dr Kelvin Yii Lee Wuen menyelar rakan sejawatannya, dari Umno, Dr Muhammad Akmal Saleh yang mahu menampal logo tidak halal pada dahi ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Katanya, meskipun setiausaha publisiti DAP itu membantah cadangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mempertimbangkan mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menghidangkan daging babi dan alkohol, pemimpin Umno itu boleh menentangnya dengan fakta dan hujah dan bukan panggilan nama.
“Kenyataan Akmal itu berbaur seksis dan misoginis (kebencian terhadap wanita) dan benar-benar biadab serta tidak wajar (dilakukan oleh) seorang pemimpin belia di negara kita.
“Perbuatan sebegini wajar ditegur dan dikutuk kerana ia menunjukkan contoh yang tidak baik kepada orang lain terutamanya kepada belia negara kita tentang sikap seorang pemimpin negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam, menerusi satu hantaran video di Tik Tok, Akmal yang melabelkan ahli parlimen Seputeh itu sebagai 'nyonya tua', berkata Kok tidak sepatutnya mencampuri urusan agama Islam berkaitan pensijilan halal.
“Kalau kamu tak tahu tentang agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok dan saya minta juga kepada kerajaan sediakan satu logo non (tak) halal, tampal dekat dahi nyonya tua ini,” kata Akmal.
Teresa Kok
Kok sebelum ini dilaporkan berkata cadangan Jakim itu berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Ini susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na'im Mokhtar, Khamis lalu yang memaklumkan pihaknya sedang mengkaji cadangan itu.
Mengulas lanjut Yii mengingatkan Akmal bahawa Kok telah dipilih menjadi wakil rakyat sejak 1999, dan beliau adalah ahli parlimen enam penggal, iaitu kira-kira 25 tahun sejak 1999.
“Apa yang YB Teresa lakukan adalah untuk membangkitkan kebimbangan yang sah oleh orang yang diwakilinya dan walaupun seseorang itu tidak bersetuju dengan perkara yang dia sampaikan, seseorang sentiasa boleh menentangnya dengan fakta dan hujah dan bukan panggilan nama.
“Perkara penting ini akan dibincangkan secara menyeluruh oleh pemimpin kita dalam kabinet, dan tidak seharusnya dijadikan polemik dan dipolitikkan.
“Kita boleh mempunyai perspektif dan pandangan yang berbeza tentang dasar - bahas dan bincangkannya secara matang. Tidak perlu memanggil nama, merendah-rendahkan martabat seseorang yang lebih berusia dan tidak menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Yii seterusnya mencadangkan supaya mengamalkan politik matang dan konstruktif sebagai teladan kepada masyarakat, terutamanya golongan muda.
“Sebagai seorang pemimpin negara, keutamaan harus membina jambatan dan menjelaskan perkara itu, dan bukan menghasut perpecahan,” katanya lagi.
Ulasan
Catat Ulasan