Al-Arqam: Terkeliru antara personaliti dan realiti



Al-Arqam: Terkeliru antara personaliti dan realiti
AZMAN ABDILLAH
Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
29 September 2024, 6:27 am

MUKADIMAH

GERAKAN Al-Arqam yang diharamkan pada tahun 1994 pernah mencetuskan fenomena dan membuka banyak mata masyarakat satu ketika dahulu.

Manakan tidak, gerakan ini dianggap sebagai kumpulan yang mempunyai pengaruh kuat dan meninggalkan kesan dalam kalangan umat Islam pada ketika itu termasuk menerusi sistem sosioekonomi sendiri.

Namun, di sebalik pengharaman Al-Arqam, ia turut meninggalkan pengajaran lain kepada umat Islam terutama dalam konteks di negara ini.
Wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI dan ROSHIHAN ANNUAR YUB menemu ramah bekas pengikut Al-Arqam yang juga pengasas kumpulan nasyid The Zikr, AZMAN ABDILLAH. Turut membantu jurufoto, SYAKIR RADIN.

SERTAI AL-ARQAM
MINGGUAN MALAYSIA: Boleh ceritakan pengalaman peribadi peranan serta tanggungjawab tuan semasa terlibat dengan Al- Arqam satu ketika dulu?
AZMAN: Saya menyertai Al-Arqam antara tahun 1985 ke 1986. Pada masa itu, masih muda dan umur sekitar 15, 16 tahun. Tetapi kalau kata menjadi antara orang terawal tidak juga kerana ada lagi yang lebih awal.

Antara sebab saya menyertai kumpulan Al-Arqam adalah kerana negeri kelahiran saya iaitu Sabah daripada sudut institusi agama Islam sangat kurang pada masa itu.
Maka, saya melihat Al-Arqam sebagai satu gerakan dakwah yang menarik daripada segi sifat dan penampilannya. Sederhana, berakhlak dan mempunyai tata tertib yang baik. Justeru, saya terpanggil lebih-lebih lagi pada era penuh dengan budaya Barat seperti hippies dan sebagainya.


Selain itu, apabila melihat sosok (penampilan ahli Al-Arqam), saya terpesona dan mahu mendekatinya. Saya terus buat keputusan datang ke Semenanjung Malaysia. Bagaimanapun, hasrat saya ditentang arwah bapa, bekas anggota polis. Menurutnya, Al-Arqam tidak betul, tetapi saya tetapkan hasrat untuk menyertainya demi memahami agama secara keseluruhan dan bukan menerusi serpihan dalam satu-satu aspek sahaja.

Sebab itu, saya buat keputusan ke Sungai Penchala untuk menerima pendidikan agama. Untuk pengetahuan semua, sekolah Al-Arqam ada dua aliran iaitu Sanawi (agama) dan dakwah serta kepimpinan (qism) serta tempohnya sangat pendek iaitu tiga tahun. Tujuan pendidikan ini untuk remaja yang mahu beralih daripada sekolah biasa masuk ke aliran agama.

Pada waktu itu, saya datang sebagai pelajar dan silibus daripada ‘kitab-kitab kuning’ (kitab tradisional Islam) seperti Fekah. Kemudian daripada sudut pelajaran juga, kita belajar risalah tauhid dan tasawuf. Pada masa itu, tidak timbul soal bertentangan umum sebab rujukan kita turut menjadi rujukan kepada orang lain.

Cuma fokus kepada kelas qism dakwah ini adalah untuk melahirkan pemimpin, mubaligh atau pendakwah yang akan keluar menjadi penyambung dakwah umat. Dan salah satu program memberi kesan pada hati saya adalah operasi risalah dakwah (ORD), program bulanan dan bertemu masyarakat. Kami ada majalah dan surat khabar seperti Al Mukminah; Al Munir dan An-Nasiha. Sambutan amat menggalakkan. Ini medium dakwah yang jadi agen antara masyarakat dan Al-Arqam.

Apakah cabaran terbesar yang dihadapi semasa dalam Al-Arqam?

Secara jujur tiada kerana saya datang dengan rela hati dan kesedaran. Saya mahu menambah ilmu dan mempunyai cita-cita besar iaitu berkhidmat dan menyebarkan ilmu kepada orang lain.

Proses pendidikan dalam Al-Arqam selain belajar secara formal, kita dinilai peribadi, kecenderungan dan minat. Macam saya sejak zaman sekolah terlibat dengan seni, drama dan nyanyian. Cuma suara saya tidak sesedap orang Sabah lain yang lebih popular. Kebetulan saya bertemu dengan kawan saya antaranya Nazrey Johani iaitu bekas anggota kumpulan Raihan. Dari situ, saya berkumpul dan bertukar-tukar fikiran sehingga terlibat dalam program nasyid.

Seingat saya, ada satu hari dalam seminggu kita mempunyai jadual kuliah fardu ain. Ia juga terbuka untuk orang luar. Kami juga diisi dengan hiburan dan Al-Arqam mempunyai syubah penerangan, kesihatan, kebajikan dan lain-lain.Tenaga pengajar pula terdiri daripada ustaz Al-Arqam dan pada waktu itu mereka lepasan pondok serta kolej-kolej. Tidak timbul soal terbiar atau dieksploitasi dan kami memang menjalani rutin pelajar. Sebab itu, saya tidak melihat keberadaan saya sebagai dipergunakan atau diseksa.

Bagaimana layanan pemimpin tertinggi terhadap pelajar?
Masa saya bergelar pelajar, penekanan lebih kepada adab antara pemimpin dengan pengikut dan guru dengan pelajar. Ketika saya masuk ke Sungai Penchala tahun 1989, Ashaari Muhammad atau digelar Abuya sudah tiada di Malaysia dan semua pimpinan Al-Arqam ikut Abuya di mana saja dia berada.

Ashaari datang dan pergi ke Sungai Penchala yang merupakan markas utama Al-Arqam dan menjadi tempat transit. Boleh dikatakan semua pemimpin Al-Arqam kalau mahu berhubung akan buat di Sungai Penchala. Waktu itu memang ada pemimpin lain yang akan datang cuma saya tidak nampak. Sebab hubungan itu kita hormati mereka sebagai pemimpin dan kita bukan mahu mendekati pemimpin sangat. Saya memang tidak pernah jumpa dengan Ashaari secara bersemuka.



Ada wujud wirid yang sebut nama pemimpin Al-Arqam?
Tidak. Al-Arqam ada era tertentu. Pada pandangan saya era 1968 sehingga ke 1988, Al-Arqam masih berjalan baik dan asli serta doktrinnya masih belum bercampur aduk.

AJARAN
Apa ajaran Al-Arqam yang paling saudara ‘pegang’ pada masa dulu?

Ia wujud atas dasar yang pertama untuk membenarkan hadis Rasulullah SAW sebagai pegangan kita. Akan datang nanti di akhir zaman iaitu apa yang dipanggil sebagai kebangkitan sebelah Timur.

Matlamat kita mahu menegakkan hukum hakam Allah SWT. Hukum-hukum ini terkandung dalam lima hukum itu iaitu wajib sunat haram, makruh dan harus. Dan lima hukum ini pula hendak diterjemah dalam kehidupan kita seharian.

Dan Ashaari sering menerangkan tentang Islam ini bahawa ia satu peraturan dan tatakelola yang lengkap bermula dari akidah; ibadah; ekonomi; hiburan; kesihatan dan sahsiahnya.

Itu yang selalu disebut-sebut dan kami melihat Islam yang diperjuangkan Ashaari ini Islam yang syumul pada masa itu. Maka lahirlah aktiviti lain sehingga menjadi punca kepada usaha menidakkan ajaran Islam yang diamalkan umat Islam lain. Pengikut menyifatkan umat Islam lain mempelajarinya daripada serpihan dan bukan secara keseluruhan.

Kemudian daripada sudut itu ahli Al-Arqam dipupuk dengan tiga asas kekuatan yang selalu diulang-ulang untuk mereka faham dan menghayati serta diperjuangkan dalam kalangan masyarakat.

Pertama iman tetapi iman yang bagaimana? Iman itu maksudnya percaya namun adakah cukup sekadar percaya? Ia sesuatu yang diyakini hati, difahami akal dan dilakukan dengan akal.

Ia ada lima peringkat. Pertama Iman Taqlid; Iman Ilmu, Iman Ayyan; Iman Hak dan Iman hakikat dan semua ini harus diusahakan pengikut Al-Arqam. Jadi, kita perlu merasakan tahap keimanan itu sehingga kita kesusahan sahabat kita sama macam kesusahan kita sendiri. Sampai satu tahap kalau kita tiada duit, kita boleh berkongsi. Ketiga, kesefahaman dan keselarasan ini yang menjadi akar umbi kekuatan Al-Arqam.

DOKTRIN DAN DOGMA
Bagaimana semuanya bermula apabila ada masyarakat melihat Al Arqam ajaran sesat. Di mana punca sehingga ia berbeza daripada apa yang dihujahkan tadi?

Semua yang berlaku ini bukan secara automatik dan ia mengambil masa. Ia bermula dengan doktrin dan dogma. Kedua-dua ini berulang-ulang sehingga akhirnya menjadi minda bawah sedar yang berputar kepada kepercayaan dan kemudian menjadi kepada apa yang disebut paradigma iaitu pandangannya.

Daripada situ, maka ia melahirkan personaliti tetapi bukanlah boleh terus yakin.
Kalau kita melihat daripada sumber rujukan al-Quran ada menyebut taat kamu kepada Allah SWT; Rasul dan pemimpin dalam kalangan kamu. Dalam konteks ini, Al-Arqam ada organisasi dan ada jemaah pengajian. Mereka juga ada konsep kalau awak tidak boleh buat semua jangan tinggal semua. Sebagai contoh, bab muamalat dan jual beli Islam.

Daripada situ, ada juga elemen disebut hati ditempa mengikut apa yang dimakan. Maknanya kita kena sediakan makanan halalan toyyiban. Kemudian di situ ada satu keyword, ‘kami dengar dan kami patuh’. Komunikasi satu hala dan perlu patuh segala arahan. Kalau langgar dianggap derhaka. Jadi ikut sahaja.



Doktrin ini diulang-ulang sehingga akhirnya menjadi personaliti. Maka bermulalah daripada situ iaitu ketaatan sangat kuat. Kemudian tidak dapat dinafikan ada elemen tertentu yang membawa kepada taksub ini. Ada elemen penting yang tidak dapat tidak semestinya berkaitan Imam Mahdi.

Kalau kita baca hadis Rasulullah SAW, iaitu bagaimana ada pemimpin akhir zaman dengan kelebihan tertentu. Maka Al-Arqam dengan sokongan dengan Islam yang syumul dan kelihatan dengan aktivitinya, terus dilihat masyarakat sebagai Islamik. Malah, katanya ada jemaah yang layak menjadi pembantu Imam Mahdi. Dan dalam masa sama Abuya cukup teruja dengan cerita Imam Mahdi.

Ada pihak tertentu dalam Al-Arqam mengambil peluang dan ruang untuk tanam benih ini. Jadi, selain kecenderungan jemaah yang disebut itu, maka keluar satu lagi kata kunci iaitu ‘kita jemaah yang dijanjikan dan kita bergerak menepati Jadual Allah SWT’. Itulah trend dia dan bersambung-sambung. Selepas itu timbul satu persoalan lain. Adakah Ashaari ini ciri pemimpin yang boleh bergabung dengan Imam Mahdi? Maka di situ keluarlah istilah Pemuda Bani Tamim. Ini semua rekaan semata-mata yang diwujudkan pihak tertentu untuk menciptakan Abuya itu sebagai pemimpin yang hebat.

PENGIKUT KELIRU
Adakah saudara ketika itu sudah terfikir bahawa perkara tersebut bertentangan atau sebaliknya?

Waktu itu tidak kerana saya pelajar dan muda. Lagipun saya belum matang berfikir. Hanya mengikut. Inilah kemuncak operasi dan ia bertukar daripada asal iaitu daripada mahu membawa masyarakat kepada Allah SWT bertukar kepada susuk tubuh seseorang. Bagi saya, orang Al-Arqam terkeliru antara personaliti dan realiti.

Sebab kalau kita melihat personaliti Ashaari memang tiada cacat celanya. Berilmu dan mampu menjawab semua soalan yang dikemukakan. Pada masa sama, Al-Arqam mahu membina sistem sendiri yang bukan daripada sistem arus perdana. Sehingga membuat kesimpulan bahawa umat Islam hari ini mengamal Islam secara serpihan.

Akhirnya sampai satu titik berbahaya apabila perkataan Daulah Islamiyah ditimbulkan. Ia muncul untuk disinergikan dengan kebangkitan Imam Mahdi. Tidak lengkap kalau Imam Mahdi itu muncul tanpa Daulah Islamiyah. Inilah doktrin dia.

Kita jangan lupa Ashaari pernah terlibat dalam politik juga. Jadi, cita-cita untuk mengangkat Daulah Islamiyah pasti ada. Jadi, di sini saya lihat doktrin ini terperangkap.

Mereka ada ideologi tetapi tiada metodologi, kaedah dan cara. Sudah tentu pelaksanaannya tiada. Justeru cara menampung kekurangan itu ialah mewujudkan pelbagai versi kata kunci yang kita tidak pernah dengar untuk merasionalisasi perjuangan mereka.

Masalahnya, Al-Arqam tidak masuk politik tetapi mahu kuasa. Bagaimana caranya? Inilah menyebabkan ia berputar di situ dan akhirnya mencipta ‘kekarutan’ untuk membenarkan ideologi ini tadi.

TAASUB ATAU DIPULAUKAN
Bagaimana jika pengikut bersuara, rasa sangsi atau tidak puas hati?

Akan dikeluarkan daripada jemaah. Awak akan dipulaukan dan bukan mudah apabila dikeluarkan daripada jemaah. Sebabnya, jemaah ditanggung sepenuhnya oleh kumpulan. Ia lebih susah, kalau jemaah ada isteri ramai.
Tetapi saya mahu tekankan di sini, apabila taasub sudah berakar umbi dan mereka sedar ia tidak akan bertahan lama. Jadi, bagaimana mahu kekal? Maka di situlah lahirnya teori kultus (mendominasi ahli). Saya mahu tekankan apabila sebut soal taasub, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja termasuk orang politik.

Dan kesannya, memang teruk. Sebagai contoh, menyebabkan minda tertutup, merasakan diri mereka terbaik, hanya sentiasa dalam kelompok mereka dan sentiasa berada dalam keadaan terdesak yang mengakibatkan sentiasa memerlukan seseorang untuk bergantung. Maka daripada sinilah punca ‘benih’ yang elok akan rosak dan akibat daripada semua ini, mereka sentiasa berada dalam ketakutan kerana tenaga paling tinggi itu adalah tenaga cinta atau unconditional love.

EKONOMI AL-ARQAM
Bagaimana Al-Arqam berjaya mencatatkan kejayaan dalam ekonomi dan mempunyai ramai pengikut satu ketika dahulu. Komen saudara?

Ekonomi terbina bermula daripada belajar mengaji dan mendapat satu input bahawa kita perlu ada satu sistem ekonomi Islam itu sendiri. Pada saya, pencapaian ekonomi Al-Arqam bukan sehebat mana kalau dibandingkan dengan konglomerat yang ada. Malah, ia tidak sampai boleh diwarisi turun temurun. Tapi ia berjaya mencetus idea baharu yang mana sebelum itu umat Islam tidak pernah mengambil kisah seperti isu halal ini.

Semasa itu apabila Al-Arqam berniaga, tiada orang boleh mempertikaikan walaupun tiada logo halal sebabnya orang yakin. Cukup sekadar melihat serban dan cara berpakaian mereka orang terus sokong.

Sebenarnya Al- Arqam berjaya mencetus satu fenomena bahawa kita perlu membangunkan ekonomi Islam serta menyambungnya untuk lebih kompetitif dan berjaya di peringkat era globalisasi. Sampai hari ini saya lihat ekonomi itu lebih dekat berbanding dakwah Al-Arqam dan bukan dakwahnya atau hiburannya yang agak popular satu ketika dahulu.



Apa pelajaran terpenting yang boleh diambil daripada pengalaman saudara dalam Al-Arqam?
Kalau daripada segi individunya, saya ini merupakan budak nakal satu ketika dahulu. Kita digasak dengan pelbagai budaya Barat dan sebagainya. Tetapi secara individu rasa bersyukur dan alhamdulilah mampu menjaga solat dan hubungan dengan Allah SWT.

Kalau pergi ke mana-mana, tidak pernah bertanya atau mempersoalkan apa-apa sebab kita fikir untuk berjuang dan berdakwah ke jalan Allah SWT.Begitu juga soal gaji dan upah kami tidak fikir.

Selain itu, ia melatih berkomunikasi dan keyakinan diri serta mampu berdepan dengan masyarakat.
Saya rasa masyarakat hari ini jauh lagi banyak cabarannya. Hilangnya adab dan budi bahasa serta budi pekerti. Berapa ramai generasi muda kita faham?

JANGAN BUAT BENDA PELIK
Bagaimana saudara melihat masa depan kumpulan-kumpulan seperti Al-Arqam dalam masyarakat hari ini?

Kalau dalam konteks asal perjuangan Al-Arqam ada yang boleh dicontohi. Seperti proses membaiki diri, mempraktikkan Islam itu syumul dan cara hidup Islam untuk membawa masyarakat kepada Allah SWT.

Cuma jangan lawan arus sebab negara ini ada undang-undang. Ada sistem pemerintahan dan sistem Raja Berpelembagaan iaitu Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan agama Islam sebagai agama rasmi. Jadi, kita kena sepakat menghormatinya. Walaupun mungkin ada tidak setuju tetapi jangan kita buat sesuatu yang pelik.

Kita perlu kembali kepada jati diri sebenar. Kembali kepada ajaran yang luhur. Yang tiga, budi . Di situ kita akan kenal diri sejati kita. Baru kita menjadi bangsa hebat dan disegani. Tapi kalau kita mahu memperjuangkan sesuatu atau mahu laksanakan kebangkitan, jangan guna label agama. Kecenderungan kita bawa label agama biasanya akan membawa kepada taasub dan kultus. Bukan agama Islam sahaja tetapi agama lain juga begitu. – MINGGUAN MALAYSIA

Ulasan