Amirudin, Sanusi ketepi fahaman politik
AMIRUDIN Shari dan Muhammad Sanusi Md. Nor bertukar jersi pasukan masing-masing sebelum perla987975wanan bermula dekat Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
3 September 2024, 11:29 pm
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor dan Kedah ketepi fahaman politik masing-masing bagi menjalin kerjasama yang boleh memanfaatkan ekonomi dan rakyat kedua-dua negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perseteruan politik sepatutnya terhad semasa kempen pilihan raya ketika rakyat dikembalikan mandat mereka untuk membuat pilihan.
“Bagi saya, ini adalah masa sesuai untuk kesemua pihak bertenang dan memberi isyarat kepada rakyat bahawa perbezaan politik hanya berlaku apabila tiba masanya,” katanya ditemui selepas menyertai perlawanan persahabatan bola sepak di antara pasukan pilihan Menteri Besar Selangor dan Kedah, hari ini.
Dalam perlawanan tersebut, pasukan pilihan Kedah berjaya menewaskan Selangor dengan jaringan lapan berbalas lima.
Malah, Muhammad Sanusi menyumbang gol pertama untuk pasukannya selepas berjaya menerima hantaran dalam kawasan penalti.
Beberapa bekas pemain bola sepak Kedah dan Selangor turut beraksi dalam perlawanan tersebut seperti Datuk Zainal Abidin Hassan, Shahril Arsat, Liew Kit Kong, Rafdi Rashid dan lain-lain.
Turut mencuri tumpuan apabila sayap pasukan Selangor dan juga pasukan kebangsaan, Faisal Halim turut beraksi untuk pasukan pilihan MB Selangor pada 15 minit terakhir perlawanan.
Dalam pada itu, Muhamad Sanusi memberitahu kemerdekaan yang dikecapi Malaysia sejak 67 tahun sepatutnya dihargai semua pihak dengan mengelak daripada perseteruan besar yang boleh memecahkan perpaduan negara.
“Hubungan antara kesemua kerajaan negeri berada pada tahap terbaik, jadi hal ini perlu dipertahankan. Mana-mana kerajaan negeri, tidak kira parti mana sekalipun untuk bekerjasama dengan Kedah, saya sangat alu-alukan dengan hati yang terbuka.
“Kalau nak main bola sepak dengan pasukan saya pun, saya alu-alukan. Hubungi saya dan kita atur perlawanan,” selorohnya.
Terdahulu, kedua-dua menteri besar itu menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dengan Utiliti Infra Darul Aman (UiDA) bagi pembangunan pangkalan data utiliti serta perkongsian kepakaran pengurusannya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan