Anak Jokowi dalam radar suruhanjaya antirasuah

Anak Jokowi dalam radar suruhanjaya antirasuah
PENGGUNAAN jet peribadi Gulfstream G650ER menyebabkan percutian mewah Kaesang Pangarep dan isterinya, Erina Gudono menjadi perhatian netizen di media sosial.- AGENSI
Oleh Athirah Huda Zalhe
1 September 2024, 11:00 am

JAKARTA: Anak bongsu Presiden Joko Widodo (Jokowi), Kaesang Pangarep kini menjadi sasaran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (KPK) selepas isu percutian mewahnya menjadi perhatian netizen di media sosial.

Ini berikutan, netizen hangat mempersoalkan dan menyiasat penggunaan jet peribadi Gulfstream G650ER oleh Ketua Umum Parti Solidariti Indonesia (PSI) itu.

Pesawat peribadi tersebut didakwa digunakan oleh Kaesang bersama isteri, Erina Gudono untuk bercuti ke Amerika Syarikat (AS).

Ketua KPK, Nawawi Pomolango berkata, suruhanjaya antirasuah akan menyiasat kemungkinan Kaesang menerima beberapa kemudahan kerana campur tangan keluarga.

Ia adalah sebahagian daripada proses siasatan yang akan dijalankan terhadap Kaesang, susulan isu dakwaan suapan dalam bentuk penyediaan kemudahan jet peribadi.

“Tentunya perlu diperjelas apakah kemudahan yang diperoleh mempunyai kaitan, misalnya dengan jabatan penyelenggara negara yang dipegang keluarganya,” kata Nawawi.

Beliau berkata, Kaesang bukan pentadbir negara yang wajib melaporkan hasil diterimanya kepada KPK.

“Bagaimanapun, Ketua Umum PSI ini masih anak kepada Presiden Joko Widodo dan adik kepada Naib Presiden terpilih, Gibran Rakabuming Raka.

“Dengan cara ini, sewajarnya KPK menjelaskan isu pemberian kemudahan kepada Kaesang yang disyaki ada kaitan dengan suapan melibatkan keluarganya,” katanya.- KOMPAS.COM

Ulasan