Apa masalah Ahli Parlimen Sungai Petani?



Apa masalah Ahli Parlimen Sungai Petani?
September 2, 2024

Ahli Parlimen Sungai Petani Dr. Taufiq Johari mungkin mempunyai masalah pemahaman yang kronik.

Adalah sangat jelas bahawa Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam ucapan penggulungan Sidang Dewan Undangan Negeri baru baru ini adalah teguran terhadap Kementerian Pendidikan yang tidak membenarkan pemimpin Kerajaan Negeri Kedah masuk ke sekolah di bawah kementerian itu untuk menjalankan program berkaitan pendidikan.

Sudah tidak menjadi lagi rahsia di Negeri Kedah bahawa hal-hal yang seumpama itu memang berlaku di bawah pentadbiran kerajaan hari ini.

Dan semua orang pun tahu bahawa tidak ada arahan bertulis berhubung perkara itu melainkan arahan tidak membenarkan pemimpin atau aktivis Perikatan Nasional (PN) termasuk yang memegang jawatan kerajaan memasuki kawasan sekolah. Ia sekadar larangan secara lisan. Walaupun lisan tetapi kalau datangnya daripada orang yang berkuasa, panggilan telefon saja sudah memadai.

Pernah berlaku seorang guru besar di Kedah dipanggil ataupun ditegur oleh pegawai Pejabat Pendidikan Daerah hanya kerana pengacara kejohanan sukan sekolah itu membuat pengumuman mengenai kehadiran seorang ADUN PN yang hadir hanya untuk memberi semangat kepada dua anaknya yang bertanding.

Jadi wakil rakyat PN hendak ke sekolah beri semangat anak berlumba pun boleh jadi masalah kepada kerajaan!

Apa yang saya sendiri alami, saya dihubungi oleh seorang guru yang minta dibuang foto saya bersama beberapa guru termasuk yang menghubungi saya itu sedang berbual di kantin sekolah mereka dari akaun Facebook.

Ini kerana hal kehadiran saya di sekolah itu dikatakan telah dilaporkan kepada pihak atasan dan mereka tidak ‘gembira’ dengan kehadiran saya selaku pegawqi kepada Menteri Besar Kedah di sekolah itu.

Walhal, itu bukanlah kehadiran saya yang pertama kali di sekolah berkenaan. Saya pernah hadir untuk menyampaikan bantuan kerajaan dan kebetulan pula guru-guru di situ kawan lama saya.

Juga pernah berlaku satu majlis yang mahu dianjurkan persatuan alumni sekolah Dato’ Seri Sanusi sendiri tidak dibenarkan dibuat di dalam kawasan sekolah itu.

Kebenaran hanya akan diberi sekiranya Menteri Besar Kedah tidak diundang sebagai tetamu majlis itu.

Atas dasar solidariti, majlis yang sepatutnya bertujuan untuk membantu kewangan sekolah dibatalkan.

Ada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah menengah di Alor Setar mengadakan majlis makan malam dengan menjemput Dato’ Seri Sanusi sebagai tetamu kenamaan. Namun kerana Menteri Besar dilarang memasuki kawasan sekolah, majlis itu terpaksa diadakan di luar.

Tujuan makan malam itu adalah untuk mengumpul dana membiayai program akademik namun disebabkan halangan itu, kos menjadi mahal. PIBG terpaksa menyewa dewan di luar dan ini sudah tentu menelan sebahagian peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk kepentingan pelajar.

Larangan ini meletakkan kedudukan pemimpin PN di Kedah seperti persona non grata atau orang yang tidak diingini di setiap premis pendIdikan. Dalam kata lain, pemimpin PN termasuk Menteri Besar sendiri dibuat seperti musuh masyarakat.

Justeru teguran Dato’ Seri Sanusi supaya institusi pendidikan tidak dipolitikkan oleh mana mana pihak baik Kerajaan mahupun pembangkang adalah jelas bermotif kebaikan. Itu satu peringatan yang fundamental. Gesaan ini meletak semua pemegang taruh untuk sama-sama memikul tanggungjawab memastikan masa depan generasi masa depan terjamin dari segi pendidikan.

Ucapan Dato’ Seri Sanusi amat mudah untuk difahami oleh sesiapa juga yang mempunyai minda yang stabil.

Cabaran untuk letak jawatan, bertanding dalam pilihan raya untuk jadi wakil rakyat dan berbahas secara gentleman dalam Dewan Undangan Negeri, beliau tujukan kepada Pengarah Pendidikan Negeri Kedah.

Kenyataan penuh Dato’ Seri Sanusi boleh dirujuk daripada video ucapan itu yang sudah tersebar merata.

Sekali lagi saya ulang, yang dicabar oleh Menteri Besar Kedah ialah Pengarah Pendidikan Kedah, bukan Menteri Pendidikan.

Teguran kepada Menteri Pendidikan adalah berkaitan pentadbiran tidak profesional dalam kementerian itu yang tidak mematuhi semangat federalisme, tidak meraikan prinsip demokrasi dan etika dalam perhubungan Kerajaan dengan Kerajaan. Itu sahaja.

Jadi bagaimana Ahli Parlimen Sungai Petani berhalusinasi hingga mencabar Dato’ Seri Sanusi bertanding kerusi Parlimen untuk masuk berbahas dengan Menteri Pendidikan di Dewan Rakyat?

PAS bukan seperti PKR yang tergamak mengosongkan kerusi untuk diadakan PRK dengan membazirkan wang rakyat semata – mata untuk memenuhi nafsu serakah politik pemimpinnya seperti yang pernah berlaku di DUN Kajang, Port Dickson dan Permatang Pauh.

Lagi pun apa yang disebut oleh Dato’ Seri Sanusi adalah prinsip asas dalam pentadbiran Kerajaan yang seharusnya dihayati oleh semua ahli politik.

Hairan juga apabila Ahli Parlimen itu pula yang sebaliknya menuduh Dato’ Seri Sanusi memfitnah dan tidak profesional.

Pot calling the kettle black!

– Penulis adalah Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah. – HARAKAHDAILY 2/9/2024

Ulasan