Bangunan BIHOJ sudah 20 tahun beroperasi



Bangunan BIHOJ sudah 20 tahun beroperasi
September 4, 2024

Khairul Faizi Ahmad Kamil

KUALA LUMPUR: “Diam tak diam, sudah 20 tahun Balai Islam Haji Omar Jani (BIHOJ) beroperasi walaupun tarikh perasmiannya adalah pada 30 April 2006 yang telah tertangguh beberapa kali sejak 1995 lagi.

Demikian kata Ketua Penerangan PAS Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil tentang bangunan itu yang disiapkan dari sumber kewangan ahli-ahli dan titik keringat para petugas yang bersemangat untuk menyiapkan sebuah bangunan itu.

“Lajnah Penerangan dan Media Baharu (LPMB) PAS Johor mengadakan mesyuarat Kali Ketiga di BIHOJ. Sebelum mesyuarat bermula, saya cuba catatkan beberapa maklumat dan informasi untuk perkongsian kepada semua.

“Tahun ini genap BIHOJ beroperasi, bermula ketika PAS Kluang untuk pertama kalinya menyertai dan menghantar calon sejak kali terakhir ketika Pilihan Raya Umum ke-7 (PRU7) pada 1986,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Khairul Faizi yang juga Penolong Setiausaha Agung I PAS berkata, PAS Kluang bukanlah tidak punya hasrat untuk meletakkan calon selepas PRU7 tetapi banyak kekangan yang perlu dihadapi ketika itu.

“PAS Kluang berusaha meletakkan calon PRU10 pada 1999 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol bersama Barisan Alternatif (BA), namun DAP kekal meletakkan calon di Parlimen Kluang, DUN Mengkibol dan DUN Lambak,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lajnah Teknologi Maklumat dan Data Raya berkata, Pejabat PAS Kluang beroperasi di tingkat 2, Jalan Mersing, Kluang yang mula disewa pada 1999 sebelum tertubuhnya BIHOJ.

“Operasi pejabat PAS Kluang terus kekal di BIHOJ selepas PRU11 dan pejabat PAS di tingkat 2, Jalan Mersing ditutup operasinya. Sebelum pejabat PAS Kluang beroperasi di Jalan Mersing, PAS Kluang terpaksa menggunakan lokasi di Kampung Melayu.

“Kampung tersebut terletak di sebuah bangunan berhadapan padang bola sepak Majlis Perbandaran Kluang atau lebih dikenali sebagai padang Sekolah Kampung Melayu di kalangan orang tempatan.

Menurut beliau, bangunan tersebut dijadikan sebagai Pusat Pengajian al-Quran yang dikenali sebagai Kelas al-Quran dan Fardhu Ain Haraki (KAFFAH) yang diusahakan oleh PAS Cawangan Kampung Melayu.

“Walaupun tidak dinaikkan apa-apa papan tanda PAS tetapi umumnya ahli PAS Kluang menyedari bahawa PAS beroperasi di situ selepas berpindah dari pejabat pentadbiran lama di Taman Fajar, Kluang,” katanya.

Beliau berkata, BIHOJ itu diambil sempena nama Yang Dipertua PAS Kluang yang pertama dan yang juga mantan Pesuruhjaya PAS Johor, Ustaz Omar Jani yang telah kembali ke rahmatullah pada 1996.

“Walaupun premis ini masih belum siap sepenuhnya dan masih belum dirasmikan tetapi terpaksa digunakan Bilik Gerakan Pilihan Raya PAS pada 2004 kerana lokasinya yang strategik dan tidak perlu memanjat tangga yang tinggi.

“Bangunan ini telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Dato’ Dr Mahfodz Mohamed pada 30 April 2006, dua tahun selepas BIHOJ beroperasi sebagai Pejabat Pentadbiran PAS Kluang,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2024

Ulasan