Banjir: Terengganu hulur bantuan kepada Kedah
September 22, 2024
KUALA TERENGGANU: Terengganu telah mengerahkan pasukan sukarelawan ke negeri Kedah dengan sokongan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bantuan yang diaturkan oleh kerajaan negeri telah pun disampaikan sebahagiannya oleh pihak terbabit yang turun ke negeri itu.
“Kita tengok nanti apa keperluan selanjutnya sama ada dari segi kewangan dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media selepas program Townhall persatuan mahasiswa anak Terengganu (Permata) di Duyung Convention Centre, di sini, hari ini.
Dilaporkan jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 8,898 mangsa daripada 2,871 keluarga yang berpindah ke 44 pusat pemindahan sementara (PPS) di lima daerah setakat jam 8 pagi, hari ini.
Peningkatan jumlah mangsa itu berbeza berbanding 8,514 mangsa daripada 2,728 keluarga yang direkodkan setakat jam 12 tengah malam tadi.
Jumlah PPS yang masih aktif iaitu lima daerah setakat ini adalah Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang Bandar Baharu dan Pokok Sena.
Sementara itu, mengulas mengenai persediaan di peringkat negeri untuk menghadapi bencana banjir beliau berkata, ia sedang berjalan dengan lancar.
Katanya, perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta entiti terlibat terus diadakan bagi memperkukuh pengurusan bencana di Terengganu.
“Kita juga sedang bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan sebagainya untuk mempersiapkan aliran pengurusan banjir,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman persediaan banjir Terengganu yang lalu menjadikan negeri itu lebih tersusun dan terurus untuk menghadapi sebarang cabaran yang bakal melanda. – HARAKAHDAILY 22/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan