Banyak pihak bidas MAS
MAS berdepan banyak kritikan berikutan isu kekerapan pesawatnya berpatah balik akibat masalah teknikal.
Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN
3 September 2024, 6:50 am
PETALING JAYA: Beberapa insiden melibatkan pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) sejak kebelakangan ini menyaksikan imej syarikat penerbangan negara itu semakin tercalar sehingga menimbulkan persoalan pelbagai pihak mengenai kredibilitinya.
Insiden terbaharu melibatkan pesawat MH66 penerbangan dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan menggunakan armada Airbus 330-300 dilaporkan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi semalam.
MAS turut mengesahkan insiden tersebut dan memaklumkan ia berlaku akibat masalah dihadapi pada sistem hidrauliknya.
Insiden itu merupakan sebahagian daripada beberapa kes serupa melibatkan pesawat MAS.
Antaranya, pesawat MH156 ke Jeddah pada 4 Ogos baru-baru ini terpaksa berpatah balik ke KLIA berikutan masalah teknikal selain penerbangan MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur pada 19 Ogos terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Alice Springs akibat masalah enjin di udara.
Pada 24 Jun, penerbangan MH780 ke Bangkok berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah tekanan udara selain pesawat MH199 dari Hyderabad ke Kuala Lumpur pada 20 Jun terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi susulan masalah enjin.
Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan masih menunggu laporan lengkap daripada Malaysia Airlines Berhad (MAB) berhubung masalah teknikal membabitkan pesawat MH66.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya juga telah berhubung dengan syarikat penerbangan itu bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu tersebut.
“Saya telah berhubung dengan mereka (MAB), jadi kita tunggu laporan lengkap berkenaan dengan masalah teknikal tersebut,” katanya selepas Majlis Perasmian Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024 di sini semalam.
Selain masalah kekerapan pesawat berpatah balik, isu perkhidmatan seperti banyak waktu penerbangan diubah atau dibatalkan turut mendapat perhatian ekoran ramai tidak berpuas hati dengan tindakan syarikat tersebut.
Antara alasan yang diberikan oleh MAS adalah mereka berdepan kekurangan pesawat, banyak pesawat masih di bawah penyelenggaraan dan syarikat pembuat kapal terbang, Boeing tidak menghantar bekalan baharu.
Kebanyakan reaksi yang diperoleh pengguna menerusi laman Malaysia Airlines dalam Facebook menyatakan rasa marah kerana mereka perlu mengeluarkan lebih banyak belanja melibatkan kos penginapan serta tempahan lain akibat perubahan yang dilakukan.
Kesemua isu berkenaan turut mendapat reaksi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan yang menyifatkan MAS kini semakin ‘hilang taring’ sebagai penyedia pengangkutan udara utama negara.
Bendahari Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Nur Asyikin Aminuddin berkata, kekerapan pesawat MAS berpatah balik akibat masalah teknikal menunjukkan syarikat penerbangan itu ‘tidak kompeten’ dalam melaksanakan perkhidmatannya.
Katanya, mana-mana perkhidmatan sepatutnya mempunyai kerja-kerja penyelenggaraan supaya selamat untuk digunakan, terutamanya melibatkan nyawa penumpang yang ramai.
“Pengguna faham setiap kali sebelum berlepas ke mana-mana destinasi, sesebuah pesawat mesti diselenggara sebelum dibenarkan berlepas.
“Jadi isu masalah teknikal ini sebenarnya apa puncanya? Tidak sepatutnya berlaku sebab ia melibatkan nyawa penumpang. Nasib baik selamat mendarat di lapangan terbang, (bagaimana) kalau ada sesuatu berlaku?
“Perkara ini (pesawat berpatah balik) tidak sepatutnya kerap berlaku sebab sebelum penerbangan berlepas mesti akan ada (kerja) penyelenggaraan, jadi masa itu kenapa tidak periksa betul-betul kerosakan atau isu teknikal yang ada pada pesawat itu? Itu persoalannya,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung FOMCA, Dr. T. Saravanan berpendapat, kejadian berulang itu mencerminkan perlunya audit yang lebih ketat terhadap prosedur penyelenggaraan dan operasi penerbangan.
Katanya, kerajaan terutamanya Kementerian Pengangkutan perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dengan mengarahkan audit bebas terhadap operasi teknikal syarikat penerbangan bagi memastikan sebarang kelemahan dapat dikenal pasti.
“Insiden pesawat MAS yang terpaksa berpatah balik akibat masalah teknikal bukanlah perkara ringan kerana melibatkan keselamatan penumpang dan reputasi syarikat penerbangan kebangsaan kita.
“MAS seharusnya mempunyai standard keselamatan dan penyelenggaraan yang tertinggi. Isu teknikal seperti ini sepatutnya dapat dicegah,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan