Bekas Naib Presiden IKRAM dihukum fitnah Dr Kamarul

Bekas Naib Presiden IKRAM dihukum fitnah Dr Kamarul
September 18, 2024



ALOR SETAR: Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, hari ini memenangi saman fitnah ke atas bekas Naib Presiden IKRAM, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim.

Dr Kamarul bertugas di Pusat Pengajian Antarabangsa (SOIS) merangkap Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) UUM, manakala Che Asmah juga adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara dan Ketua Pejuanita PEJUANG.

Dalam saman beliau, Dr Kamarul menyatakan Che Asmah dalam kenyataannya di akaun Facebook individu itu telah memfitnah beliau pada 29 April 2021 dengan mendakwa beliau sering membuat makar (tipu daya).

Iaitu pada setiap bulan Ramadan dengan merujuk kepada rencana yang diterbitkan oleh laman web The New Straits Times (NST) bertajuk “Calls to sack UUM lecturer Kamarul grow louder”.

Rencana NST ini memuatkan komen bekas Ketua Pengarang NST, Datuk A Kadir Jasin yang menyerang Dr Kamarul kerana didakwa membuat kenyataan di akaun Facebook pada 28 April 2021 mempertikaikan keberadaan Steven Sim bersama-sama Raja Muda Perlis.

Dr Kamarul menafikan pernah membuat kenyataan mempertikaikan keberadaan Steven Sim bersama-sama Raja Muda Perlis itu dan menyaman Kadir Jasin dan NST serta beberapa individu lain yang memilih untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

Ketua AMK Negeri Perlis, Amar Abd Jalil juga pernah memohon maaf serta menarik balik kesemua laporan polis setelah mengetahui Dr Kamarul tidak membuat hantaran didakwa itu.

Amar membuat laporan mendesak siasatan di bawah Seksyen 298A dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988 terhadap Dr Kamarul.

Hakim Mahkamah Sesyen Ampang 1, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob telah membuat keputusan berkenaan hari ini menyatakan mahkamah memutuskan di atas imbangan kebarangkalian tersebut.

Bahawa Dr Kamarul katanya, telah berjaya membuktikan bahawa kenyataan Che Asmah dalam hantaran Facebook beliau adalah merupakan fitnah dan ianya merujuk kepada Dr Kamarul serta kenyataan tersebut telah diterbitkan.

Mahkamah juga memutuskan bahawa pembelaan komen berpatutan dan justifikasi yang dikemukakan oleh Che Asmah adalah gagal dibuktikan, maka ianya adalah ditolak.

Mahkamah juga memutuskan bahawa sandaran Che Asmah kepada dokumen-dokumen di Bahagian C di tab O hingga tab AA, yang ditandakan sebagai eksibit ID atau IDD, tidak boleh dibuktikan kewujudan dokumen tersebut dan atau dibuktikan kebenaran kandungan dokumen tersebut.

Mahkamah juga memutuskan kenyataan Che Asmah bahawa pada setiap bulan Ramadan ada sahaja makar yang dibuat oleh Dr Kamarul tidak dapat dibuktikan, maka kenyataan Che Asmah tersebut hendaklah dianggap sebagai tidak benar.

Juga ia merupakan fitnah terhadap Dr Kamarul dan oleh itu satu andaian yang mengatakan Che Asmah mempunyai niat jahat (malice) terhadap Dr Kamarul tercetus.

Che Asmah gagal untuk mengemukakan apa-apa keterangan dan/atau mematahkan andaian niat jahat tersebut dan akibat daripada itu, andaian niat jahat kekal tidak dicabar.

Setelah mengambil kira kesan-kesan yang ditanggung oleh Dr Kamarul akibat daripada kenyataan yang diterbitkan oleh Che Asmah, Wan Mohd Norisham menegaskan bahawa mahkamah berpendapat Che Asmah wajar diperintahkan membayar gantirugi kepada Dr Kamarul.

Oleh yang demikian, berdasarkan alasan-alasan yang dinyatakan di atas, mahkamah memutuskan tuntutan plaintif terhadap Che Asmah dibenarkan dengan kos dan Che Asmah diperintahkan membayar gantirugi secara global sebanyak RM100,000.

Faedah pada kadar 4 peratus setahun dari tarikh writ sehingga penyelesaian penuh di mana kos tuntutan juga dibenarkan sebanyak RM30,000.

Dr Kamarul diwakili oleh Mohd Harris Mohan dari syarikat guaman The Law Office of Mohd Harris manakala Che Asmah diwakili oleh beberapa peguam dari syarikat guaman Mu’az Aiman Halem Auzan & Associates.

Dr Kamarul ketika dihubungi berkata, beliau bersyukur dengan keputusan ini.

“Isu ini memang memberi impak besar kepada kehidupan saya, seluruh negara bertalu-talu menyerang saya disebabkan fitnah ini tanpa memeriksa terlebih dahulu kesahihannya, malah ada pihak di dalam UUM sendiri pun yang mencadangkan supaya saya diambil tindakan tegas kerananya.

“Syukurlah dengan keputusan yang membersihkan nama saya ini. Bukan wang yang menjadi pertaruhan di sini tetapi maruah dan integriti diri. Sebelum ini pun sudah ramai yang memohon maaf dan menyelesaikan kes di luar mahkamah setelah terbukti saya memang tidak pernah membuat hantaran itu.

“Tetapi untuk mereka yang masih berdegil dan tidak mahu memohon maaf memang kita akan teruskan dengan perbicaraan penuh di mahkamah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 18/9/2024

Ulasan