Belajar tinggi takkan mahu jadi nelayan, petani dan penternak
Oleh Muhammad Nizam Abdul Hamid
4 September 2024, 7:00 am
LAPORAN akhbar ini tentang kemungkinan negara berhadapan kekangan tenaga kerja dalam industri perikanan pada masa depan perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
Ini kerana hampir 52 peratus atau 58,531 nelayan yang aktif kini berusia 50 tahun ke atas dan malangnya tidak ada generasi muda yang dilihat berminat menggantikan tempat mereka atau dalam kata lain, kerjaya sebagai nelayan bukan pilihan anak muda.
Sebenarnya bukan dalam industri perikanan sahaja yang berhadapan masalah itu, sektor pertanian lain pun sama sahaja. Industri sawit misalnya amat memerlukan tenaga kerja dan oleh kerana anak tempatan tidak berminat, pemilik ladang terpaksa memohon kepada kerajaan sehingga 40,000 pekerja warga asing.
Jika tidak hasil ladang akan terbiar begitu sahaja. Jumlahnya dikatakan mencecah berbilion ringgit dan ini merugikan negara juga..
Masalah kekurangan pekerja tempatan dalam semua sektor berkenaan kerana ia dikaitkan dengan sektor yang berada dalam kategori 3D iaitu berat, kotor dan bahaya.
Isu anak muda enggan bekerja sebagai nelayan, petani dan peladang adalah cerita lama dan sehingga kini ia terus berlaku, hatta anak petani, nelayan dan peladang juga tidak berminat meneruskan pekerjaan ibu bapa mereka.
Bagi sesetengah mereka mungkin beranggapan, jika berjaya dalam pelajaran dan menyambung pengajian di universiti dalam bidang seperti undang-undang, perubatan, kejuruteraan, perguruan dan lain-lain, apakah mereka akan pulang ke kampung untuk mewarisi pekerjaan bapa mereka.
Sebahagian besar daripada mereka akan bekerja dalam bidang yang dipelajari di universiti dan keadaan itu sendiri akan menghalang mereka untuk meneruskan apa yang ibu bapa mereka lakukan selama ini.
Malah jika ibu bapa mereka masih melakukan kerja yang sama dan keadaan hidupnya tetap sama seperti dahulu, sudah pasti ia menjadi faktor penolak untuk anak-anak mengikut jejak langkah tersebut.
Setakat ini tidak ada yang menarik dalam pekerjaan sebagai nelayan, petani dan peladang. Yang dilihat hanya bekerja di tengah panas, bermandi peluh dan menggunakan kudrat yang banyak. Itu belum lagi masalah selepas hasil dikutip seperti harga rendah, kos tinggi dan ketiadaan pasaran yang luas.
Selagi semua faktor penolakan itu terus berlaku dalam sektor pertanian dan juga industri penangkapan ikan, selagi itulah anak muda akan mencari pekerjaan lain yang mereka lihat lebih menguntungkan.
Sebab itulah kerajaan perlu melihat isu pewarisan nelayan tua, petani dan lain-lain kepada generasi baharu sebagai isu penting kerana ia boleh menjejaskan keterjaminan makanan pada masa depan.
Muhammad Nizam Abdul Hamid ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan