Bentang RCI Batu Puteh pastikan kedaulatan tak lagi dikhianati


Bentang RCI Batu Puteh pastikan kedaulatan tak lagi dikhianati
Oleh Datuk Sukri Mohamed - September 2, 2024 @ 10:01am
KETIKA berucap pada Majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya 30 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kecuaian dalam isu Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bawa pengkhianatan kepada negara.

"Mana ada negara di dunia lepaskan kawasan dengan mudah, negara-negara berperang kehilangan ribuan nyawa hanya untuk pertahankan wilayah kecil," katanya sambil mengumumkan keputusan kerajaan membentangkan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di Parlimen.

Kes ini sudah berlarutan sekian lama. Akibat kecuaian kali pertama pada 23 Mei 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia, selain memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh, akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Hasil usaha Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan pasukannya selepas Kerajaan Britain menyahklasifikasi semua dokumen Timur Jauh pada 2016, tiga dokumen ditemui di Arkib Negara United Kingdom (UK) antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017, iaitu 'fakta baharu' ini mendorong Malaysia memohon semakan semula keputusan ICJ berhubung Batu Puteh pada 2 Februari 2017.
Disyorkan Untuk Anda









Itu adalah peluang terakhir Malaysia mendapatkan kembali Batu Puteh kerana berdasarkan Artikel 61(5) Statut ICJ memperuntukkan 'tiada mana-mana semakan boleh dibuat selepas 10 tahun keputusan dibuat', iaitu selepas 23 Mei 2018.

Usaha ini dibuat kerana Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Ismail, ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 19 Jun 2008 bertitah: "Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Batu Puteh. Batu Puteh bukan hak Singapura tetapi hak milik Johor. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu."

Pulau hak milik Johor, bukan Singapura

Ini diikuti titah Sultan Ibrahim ketika merasmikan pembukaan penggal persidangan kedua DUN Johor pada 30 Mei 2014 supaya kerajaan Johor menubuhkan pasukan khas mengkaji untuk membuat rayuan terhadap keputusan ICJ berkaitan Batu Puteh sejajar pesanan Almarhum Sultan Iskandar bahawa Batu Puteh adalah hak milik Johor.

Ekoran itu, semakan semula keputusan ICJ dijadual dibicarakan di ICJ pada 11 Jun 2018, tetapi pentadbiran negara bertukar susulan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) memihak kepada Pakatan Harapan (PH) pada 9 Mei 2018 menyebabkan Perdana Menteri bertukar tangan daripada Datuk Seri Najib Razak ke Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, dua minggu sebelum semakan semula ini dijadual dibicarakan, Dr Mahathir secara tiba-tiba membuat keputusan menarik balik semakan itu, sekali gus menyebabkan Malaysia tiada lagi ruang untuk mendapatkan kembali Batu Puteh.

Sultan Ibrahim, yang kini Yang di-Pertuan Agong, pernah mempersoalkan: "Kenapakah keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil? Mengapakah soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu?"

Lanjutan itu, pada 29 Oktober 2021, Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan Pasukan Petugas Khas diketuai Mohamed Apandi bagi menyemak isu ini dengan laporannya mendapati kemungkinan kecuaian dan kekhilafan daripada Dr Mahathir seperti dimaklumkan Ismail Sabri.

Dr Mahathir ketika mengulas hal itu, mendakwa keputusan tidak meneruskan tindakan perundangan berkenaan di ICJ adalah berdasarkan nasihat pegawai dilantik Mohamed Apandi.

Setelah Sultan Ibrahim menjadi Yang di-Pertuan Agong, baginda pada 14 Februari lalu memperkenankan pula penubuhan RCI bagi mengkaji pengendalian perkara berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan ini.

Tubuh RCI jaga maruah, kedaulatan negara

Penubuhan RCI ini adalah penting untuk menjaga maruah dan kedaulatan negara. Sebagaimana dinyatakan Perdana Menteri, "Tiada negara di dunia sanggup kehilangan satu inci tanah," dan tindakan ini memperlihatkan kesungguhan kerajaan memeriksa dan memperbaiki kecuaian berlaku.

Ini adalah satu mesej jelas bahawa kedaulatan negara tidak boleh dipandang enteng, sebaliknya perlu dipertahankan dengan penuh komitmen.

Kehilangan Batu Puteh kepada Singapura memberi kesan signifikan terhadap kedaulatan Malaysia. Ia bukan sahaja mewakili wilayah fizikal, bahkan simbol kedaulatan negara.

Kehilangan kawasan ini merosakkan maruah negara dan membuka ruang kepada persoalan mengenai kelemahan dalam pertahankan hak wilayah kita.

Dari sudut keselamatan, kedudukan strategik Batu Puteh berhampiran perairan Selat Singapura menjadikan pulau ini penting dalam kawalan laluan maritim yang sibuk malah dalam aspek ketenteraan.

Kehilangan kawalan ke atas kawasan ini bermakna Malaysia kehilangan keupayaan untuk memantau dan mengawal antara laluan perdagangan paling sibuk di dunia, yang boleh menjejaskan keselamatan maritim dan ekonomi negara.

Dalam isu kehilangan Batu Puteh ini, terdapat keperluan untuk mengkaji tanggungjawab pihak terbabit dan menghukum mereka bersalah. Tindakan ini adalah untuk memastikan tiada kecuaian serupa berlaku pada masa depan.

Kes ini adalah lebih daripada sekadar kesilapan teknikal; ia membabitkan soal pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan negara.

Penegasan Perdana Menteri mengenai isu ini amat penting dalam konteks sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos. Isu kedaulatan dan kemerdekaan adalah teras kepada identiti nasional Malaysia.

Keberanian Perdana Menteri untuk menghadapi isu ini secara terbuka adalah refleksi komitmen beliau terhadap nilai-nilai kemerdekaan dan kedaulatan.

Penulis adalah Peguamcara dan peguambela serta mantan Ahli Parlimen Kok Lanas dan Machang

Ulasan