Brazil haramkan X, kerana gagal patuh perintah mahkamah



Brazil haramkan X, kerana gagal patuh perintah mahkamah
LARANGAN terhadap X berkuat kuasa sehingga platform itu melantik wakil perundangan dan membayar denda ditetapkan mahkamah.- AFP
Oleh Athirah Huda Zalhe
1 September 2024, 10:00 am

BRASILIA: Platform media sosial, X, diharamkan di Brazil selepas gagal memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan Hakim Mahkamah Agung untuk melantik wakil perundangan baharu dalam tempoh 24 jam.

Hakim Alexandre de Moraes mengarahkan ‘penggantungan serta-merta’ platform media sosial milik Elon Musk itu, sehingga ia mematuhi semua perintah mahkamah dan membayar denda sedia ada berjumlah R$18.5 juta (RM14.24 juta).

Menurut perintah hakim, larangan akan berkuat kuasa sehingga X melantik wakil perundangan baharu di negara itu dan membayar denda kerana melanggar undang-undang Brazil.

Moraes mengarahkan pengawal selia telekomunikasi Anatel untuk melaksanakan perintah penggantungan itu dan mengesahkan kepada mahkamah dalam tempoh 24 jam.

Beliau turut memberi tempoh lima hari kepada syarikat seperti Apple dan Google untuk mengeluarkan X daripada storan aplikasinya dan menyekat penggunaan pada sistem iOS serta Android.

Beliau berkata, individu atau syarikat yang menggunakan kaedah seperti VPN (rangkaian persendirian maya) untuk mengakses platform itu boleh didenda R$50,000 (RM38,495).

Menerusi satu hantaran daripada salah satu akaun rasminya, X menegaskan ia tidak akan mematuhi tuntutan tersebut.

“Tidak lama lagi, kami menjangkakan Hakim Alexandre de Moraes akan memerintahkan X untuk ditutup di Brazil, semata-mata kerana kita tidak mematuhi perintah haramnya untuk menapis lawan politik,” kata X.

Perbalahan bermula pada April, apabila hakim memerintahkan penggantungan berpuluh-puluh akaun X kerana didakwa menyebarkan maklumat salah.

Sebagai reaksi kepada keputusan itu, Musk menegaskan kebebasan bersuara adalah asas demokrasi dan ‘pseudo-hakim’ yang tidak dipilih di Brazil memusnahkannya untuk tujuan politik.

Perbalahan dengan Moraes adalah yang terbaharu melibatkan Musk.

Sebelum ini, jutawan ter­kenal itu bertelagah dengan Kesatuan Eropah (EU) berhubung peraturan X dan berperang mulut dengan Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer. – BBC

Ulasan