Bukan Islam sertai PAS, perkukuh hubungan masyarakat
September 18, 2024
Dr Aliakbar Gulasan
KOTA KINABALU: PAS Sabah menyeru golongan bukan Islam di negeri itu untuk menyertai parti itu sebagai ahli bersekutu, sejajar dengan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan di muktamar baru-baru ini.
Pesuruhjayanya, Dr. Aliakbar Gulasan berkata, langkah itu diambil bagi memperkukuhkan hubungan antara PAS dan masyarakat pelbagai etnik serta agama di Sabah.
Menurutnya, pembukaan keahlian kepada bukan Islam adalah bukti bahawa PAS merupakan parti yang matang dan inklusif, menepis tanggapan bahawa ia ekstrem.
“Islam sebagai sebuah agama yang syumul (bersifat menyeluruh dan sempurna) sememangnya mengutamakan keamanan dan kesatuan dan meraikan masyarakat majmuk.
“Sesuai dengan semangat perpaduan Hari Malaysia, PAS Sabah mengajak rakan-rakan bukan Islam untuk bersama PAS demi Sabah dan Malaysia yang sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.
Untuk rekod, PAS sebelum ini juga mempunyai ahli bukan Islam yang berada dalam Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP). – HARAKAHDAILY 18/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan