Buku teks Sejarah masih kekal fakta salah


Buku teks Sejarah masih kekal fakta salah
Oleh Ercy Gracella Ajos - September 2, 2024 @ 9:50am
GAMBAR yang dirakam pada tahun 1875 menunjukkan pentadbir dan pegawai British yang terlibat dalam Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 1874. Sir William Jervois (duduk tengah) merupakan Gabenar Baharu menggantikan Gabenor Clarke. Berdiri dari kiri; Dr Anderson, Kapten Innes, Mejar F McNair, Lt Henry Mc Callum, JWW. Birch, W Knaggs (memakai suit terang), Kapten Speedy dan Frank Sweethenham. (Sumber: Akib Negara Malaysia)

KUALA LUMPUR: Pakar sejarah melahirkan rasa tak puas hati dan kesal terhadap buku teks Sejarah tempatan yang masih tidak diubah faktanya meskipun terdapat banyak rekod dan sumber membuktikan ia tidak tepat.

Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmi Arifin, berkata sumber adalah perkara asas dan elemen penting dalam sejarah.

Katanya, meskipun tafsiran adalah perkara lebih penting daripada sumber, ia tidak akan wujud tanpa adanya sumber.

"Apabila seseorang bercakap tentang sejarah, dia perlu tahu sumber dan harus menguasainya selain membuat kajian terlebih dahulu.
Disyorkan Untuk Anda










"Sejarah harus tepat, digambarkan dengan teliti dan saksama. Ramai orang tidak faham pun mengenai sumber dalam konteks disiplin sejarah," katanya pada Majlis Polemik Sejarah Malaysia ke-51: Kepentingan Sumber Dalam Pengkajian Sejarah, di Arkib Negara Malaysia, baru-baru ini.

Mengambil contoh Perjanjian Pangkor di Perak, Azmi berkata, buku teks Sejarah tempatan merekodkan bahawa berlakunya 'perebutan takhta Kesultanan Perak'.


Katanya, fakta yang direkodkan itu tidak betul dan bohong. Hal ini berdasarkan sumber British yang menyebut tiada perebutan takhta yang berlaku.

"Raja Abdullah mula menuntut takhta setahun kemudian selepas diberi rasuah oleh beberapa individu terdiri daripada kapitalis, yang namanya tiada dalam buku teks.

"Golongan kapitalis ini mempunyai kepentingan tersendiri dan mahukan hak di Larut," katanya.

Selain itu, beliau turut berkongsi bahawa dalam buku teks Sejarah turut dikatakan berlakunya perang saudara di Perak ketika itu.

"Perang saudara di Perak ini (berlaku) di kampung mana… tahun bila… hari apa.. berapa orang terbunuh... senjata apa digunakan.. (ini semua tidak dinyatakan)

"Saya tidak tahu dari mana sumber ini. Sedangkan sumber sangat penting. Pandangan apa pun... tanpa sumber pertama, ia tidak boleh dipertahankan.

"Sama ada ia datang daripada seorang pensyarah atau buku hebat sekalipun, tanpa sumber yang berautoriti, mencukupi dan memadai, maka ia adalah satu mitos, dongeng dan dakwaan yang tidak boleh dipertahankan," katanya.

Azmi berkata, jika sejarah tempatan dikaji dengan teliti, ia adalah lebih baik daripada apa yang dipaparkan akhir-akhir ini.

"Apa yang dapat kita lihat, penyampaian sejarah dalam negara berlaku secara sehala di mana apa yang dibaca oleh individu akan membuatkan mereka percaya bulat-bulat mengenai perkara itu.

"Sepatutnya, sejarah ini tak boleh disampaikan sehala. Ahli sejarah pun tidak mempunyai pandangan yang sama, jadi perlu ada perdebatan dan perbahasan. Dalam konteks ilmu sejarah, sumber perlu dikongsikan sehingga orang berpuas hati," jelasnya.

Jelasnya, rekod dan sumber luar negara sudah ada dan begitu banyak, tapi buku teks sejarah masih tidak berubah.

"Saya begitu kesal, begitu marah... tak berpuas hati kerana sarjana luar sudah tulis. Banyak sumber luar dan pandangan sudah berbeza.

"Buku teks kita hebat, tapi ada fakta-fakta yang perlu diteliti dan periksa balik," katanya.

Sementara itu, Pensyarah kanan di Jabatan Sejarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin, berkata individu sepatutnya mempunyai kemahiran berfikir secara kritikal iaitu tidak menerima segala benda atau bahan yang dibaca atau dirujuk sebagai satu kebenaran mutlak.

"Ini sudah menjadi satu penyakit dalam masyarakat. Kita cenderung untuk menerima segala yang kita terima melalui sosial media seperti WhatsApp, laman X dan Facebook sebagai satu kebenaran.

"Kemudian, dengan keghairahan dan kemarahan yang membakar-bakar dalam jiwa kita panjangkan kepada orang lain melalui platform dalam talian," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pembentangan Azmi, beliau berkata, sejarah sememangnya mempunyai pelbagai aliran dan pandangan yang berbeza, dan bukan sesuatu yang pelik.

"Tidak semestinya semua benar dan salah... sejarah ini hidup walaupun ia menceritakan tentang orang mati.

"Sejarah hidup dengan penemuan-penemuan dan dapatan-dapatan terbaharu yang menyegarkan, dan dikembalikan semula dengan tafsiran baharu," katanya.

Jelasnya, ramai masyarakat luar yang bercakap mengenai sejarah tetapi tidak mempunyai sumber mencukupi ataupun sumber yang dipetik bukan sahih dan tulen.

"Ilmu-ilmu sejarah kita bangkitkan melalui sumber-sumber sejarah yang sahih. Ilmu sejarah sangat berkait rapat dengan ilmu hadis dalam Islam.

"Hadis sangat menitikberatkan sumber itu. Maksudnya, ada rantaian perawi disampaikan oleh siapa dan kepada siapa," jelasnya.

Ulasan