CEO GISBH, isteri direman lima hari siasatan kes pemerdagangan manusia
30 September 2024 08:24pmMasa membaca: 4 minit
SHAH ALAM - Seramai 24 individu termasuk pimpinan utama GISB Holdings (GISBH) melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) serta isteri direman lima hari bermula pada Isnin bagi siasatan berkaitan pemerdagangan manusia.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua individu terbabit direman sehingga 4 Oktober ini untuk siasatan selanjutnya.
"Seramai 24 individu termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), isteri, tiga anak serta pimpinan tertinggi GISBH lain direman untuk siasatan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) (Pindaan) 2022.
"Kesemua individu terbabit ditahan reman sekali lagi berikutan laporan polis dibuat mangsa di Cheras mendakwa dieksplotasi suspek ketika bekerja di syarikat terbabit selain tidak menerima bayaran gaji," katanya pada Isnin.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 19 individu ditahan di empat unit kondominium di Jalan Imbi, Bukit Bintang dekat sini kira-kira pukul 5.40 pagi, 19 September lalu.
Lima individu lagi termasuk seorang anak kepada pimpinan utama GISB Holdings itu ditahan di Bukit Kayu Hitam, Kedah kira-kira pukul 6 petang, 18 September lalu.
Siasatan berkaitan dijalankan di bawah Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.
Ulasan
Catat Ulasan