Dakwa muat naik video fitnah, Mohd. Aleef mahu saman Fairul



Dakwa muat naik video fitnah, Mohd. Aleef mahu saman Fairul
FAIRUL NIZAM Roslan (kiri) dan Mohd. Aleef Yusof
Oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
7 September 2024, 9:14 am

MELAKA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Melaka, Datuk Fairul Nizam Roslan kerana dikatakan menuduhnya memuat naik klip video berunsur fitnah berkaitan penjualan bangunan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Banda Hilir di sini.

Mohd. Aleef berkata, video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya itu bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dan kerajaan negeri.

“Saya tidak menuduh, saya minta penjelasan apakah benar ia (bangunan IPD) dijual. Tonton sampai habis dan tengok (baca) ayat atau tajuk yang saya tulis, tuntut penjelasan daripada Ketua Menteri.

“Insya-Allah saya akan saman ADUN Asahan dan sedang berbincang dengan peguam. Dia menuduh saya cakap anggota polis dizalimi dan tanah IPD dijual sedangkan saya minta penjelasan dan melontarkan persoalan kepada kerajaan negeri untuk dijawab,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan negeri menyifatkan dakwaan yang disebarkan melalui platform TikTok dan Telegram berkenaan IPD Melaka Tengah dipindahkan ke bangunan sementara di Batu Berendam kerana bangunan asal telah dijual sebagai fitnah ‘dangkal’.

Susulan itu, Fairul Nizam menuntut Mohd. Aleef membuat permohonan maaf dalam tempoh tujuh hari kepada kerajaan negeri dan Ab. Rauf yang dikaitkan dengan penjualan tersebut.


Tambah Mohd. Aleef, beliau enggan melayan desakan mana-mana pihak yang menuntut permohonan maaf susulan video tular berkenaan.

“Jika tidak (dijual), tidaklah. Saya tidak perlu minta maaf atau tarik balik video tersebut,” tegasnya. – UTUSAN

Ulasan