Didakwa tipu Agong isu SD, Ahmad Zahid sedia disiasat
OlehIZWAN ROZLIN
01 September 2024 02:21pmMasa membaca: 2 minit
Ahmad Zahid menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan MyPPP 2024 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad. Foto Sinar Harian-ROSLI TALIB
KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersedia untuk disiasat berhubung laporan polis terhadapnya atas dakwaan menipu dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong.
Ahmad Zahid juga berharap agar pihak berwajib termasuk Peguam Negara melakukan siasatan atas laporan yang dibuat berhubung dakwaan kes berkenaan.
“Ini kerana 10 orang daripada ahli-ahli Parlimen yang telah menandatangani akaun bersumpah (SD) bahawa kuasa untuk membentuk kerajaan itu diberikan kepada Pengerusi BN.
“Kerusi yang dimenangi bukan hak peribadi tetapi hak parti BN menerusi tiga perkara yang ditandatangani tanpa sebarang tekanan,” katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung MyPPP 2024 di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.
Jelas Ahmad Zahid, pihaknya mempunyai rakaman video untuk setiap individu yang menandatangani ketiga-tiga dokumen itu dan terbuka untuk siasatan lanjut dilakukan oleh pihak berwajib.
Pengerusi Tetap Pemuda Bersatu, Akmal Zahin Zainal Zahir membuat laporan polis pada Jumaat terhadap Ahmad Zahid atas dakwaan menipu dan mengelirukan Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.
Akmal Zahin merujuk dakwaan Ahmad Zahid bahawa beliau mempunyai semua 30 SD ahli Parlimen BN yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, sebaik selepas PRU15.
Isu SD kembali diperkatakan selepas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin membangkitkan perkara itu dalam satu ceramah ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri sebelum ini.
Artikel Berkaitan:‘Ada 105 SD bukan 115, 10 lagi tandatangan bertindih’ - Ahmad Zahid
Pada 21 Ogos lalu, Muhyiddin berkata, beliau telah menyerahkan 115 SD yang menyokongnya kepada polis untuk siasatan.
Muhyiddin juga menyerahkan surat akuan penerimaan SD berkenaan daripada setiausaha sulit kepada Al-Sultan Abdullah
SD itu dikatakan dikumpul sejurus selepas PRU15, yang berakhir dengan Parlimen tergantung.
Ahmad Zahid sebelum ini menjelaskan presiden Bersatu itu tidak mempunyai sokongan mencukupi kerana ada 10 daripada 115 Ahli Parlimen melakukan tandatangan bertindih membabitkan BN dan PN.
Pada 24 Ogos lalu, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang kerana mengeluarkan perkataan menghasut itu dengan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948.
Ulasan
Catat Ulasan