GISBH: Budaya buat ‘keputusan’ sebelum diputuskan mahkamah
September 30, 2024
KUALA LUMPUR: “Semua pihak harus menghentikan budaya membuat ‘keputusan’ sebelum pemutusan oleh mahkamah berkenaan isu yang tular tentang Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).”
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, banyak pihak yang mengulas isu siasatan terhadap GISBH ini sehingga menggambarkan seolah-olah hukuman bersalah telah dijatuhkan.
“Seharusnya kita perlu membiarkan siasatan lengkap oleh pihak polis, agensi penyiasat, badan berautoriti agama sehinggalah keputusan daripada mahkamah.
“Budaya membuat ‘keputusan’ sebelum mahkamah memutuskan sesuatu perkara sepatutnya dihentikan,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurut beliau lagi, semua pihak selain hakim dan termasuk penyiasat, tidak mempunyai autoriti yang boleh menentukan samada satu-satu pihak itu bersalah atau sebaliknya.
Justeru, ujar beliau, budaya menjatuhkan hukuman sebelum mahkamah memutuskannya jelas bercanggah dengan kaedah pengasingan kuasa yang menjadi teras dalam negara.
“Saya melihat ia lebih malang jika pihak yang melakukan penyiasatan terus menjatuhkan hukuman ‘bersalah’, dan seolah-olah memberi tekanan kepada mahkamah agar seiring dengan “keputusan” mereka.
“Sedangkan, tugas pihak penyiasat hanyalah mencari dan mengemukakan bukti siasatan untuk dipertimbangkan dalam perbicaraan mahkamah,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, hal ini tidak terhad kepada isu GISBH sahaja, malah apa juga kes mahkamah adalah tempat bergantungnya orang ramai bagi menegakkan hak dan keadilan.
Oleh itu, menurutnya budaya ‘penyiasat’ terlajak membuat keputusan mesti dihentikan demi menegakkan keadilan, sekali gus mengukuhkan pengasingan kuasa dalam dasar negara.
“Biarkan mahkamah membuat keputusan dan tindakan yang sepatutnya berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/9/2024
Ulasan
Catat Ulasan