Jenayah seksual libat kanak-kanak membimbangkan



Jenayah seksual libat kanak-kanak membimbangkan
Razarudin Husain
Oleh MEDIA MULIA
30 September 2024, 7:39 am

PETALING JAYA: Sebanyak 23,366 jenayah seksual dicatatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam empat tahun ini hingga 22 September lalu.

Jumlah itu dilihat membimbangkan berlaku peningkatan membabitkan beberapa kesalahan seksual termasuk melibatkan kanak-kanak dan remaja dari tahun ke tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, statistik polis merekodkan sebanyak 6,890 kes melibatkan kesalahan rogol diikuti amang seksual fizikal (5,712 kes), cabul kehormatan (4,333 kes) dan gangguan seksual (2,444 kes).

Selain itu, katanya, sebanyak 1,220 kes melibatkan sumbang mahram, seks luar tabii (1,041 kes), rogol berkumpulan (423 kes) dan amang seksual bukan fizikal (347 kes).

“Sejak 2020 hingga 22 September lalu, Bahagian Siasatan Seksual dan Wanita dan Kanak-kanak (D11) Jabatan Siasatan Jenayah turut merekodkan kira-kira 213 kes pornografi kanak-kanak, berkomunikasi secara seksual dengan kanak-kanak (72 kes), pengantunan kanak-kanak atau child grooming (18 kes) dan berjumpa selepas grooming iaitu empat kes.

“Jenayah seksual paling tertinggi direkodkan adalah kes rogol iaitu 6,890 kes. Analisis mendapati lebih 90 peratus kes rogol berlaku atas dasar suka sama suka.


“Ramai di antara mereka terutamanya golongan remaja tidak sedar menjadi mangsa ‘sexual grooming’ atau pengantunan seksual iaitu punca utama berlakunya jenayah seksual,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Razarudin, sebanyak 15,653 tangkapan terhadap suspek jenayah seksual dilakukan dalam tempoh terbabit.

Beliau berkata, ia melibatkan seramai 2,873 tangkapan pada 2020; 2,837 orang (2021); 3,219 orang (2022), 3,844 orang (2023) dan 2,862 orang bagi tahun ini sehingga 22 September lalu.

Dalam tempoh terbabit, katanya, tangkapan paling ramai melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol iaitu 7,474 individu.

“Ia diikuti dengan amang seksual fizikal (5,793 orang), sumbang mahram (1,140 orang) dan luar tabii (483 orang).

“Selain itu, sebanyak 356 orang ditahan atas kesalahan amang seksual bukan fizikal manakala 228 orang berkaitan pornografi kanak-kanak, pengantunan seksual atau grooming (97 orang) dan cabul (64 orang),” katanya.- UTUSAN

Ulasan