Kebimbangan isu kedaulatan sempadan semakin meningkat




Kebimbangan isu kedaulatan sempadan semakin meningkat
September 6, 2024

KUALA LUMPUR: Kerajaan Campuran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu mengambil tindakan proaktif dalam menangani isu-isu yang melibatkan kepentingan nasional terutamanya Insiden kebocoran nota diplomatik yang didedahkan oleh media tempatan pada 3 September lepas.

QgenAnalysts dalam kenyataanya berkata, ia bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran kekal kukuh, di samping mengekalkan hubungan baik dengan negara-negara jiran.

Terdahulu, media Filipina, Inquirer pada 29 Ogos mendedahkan satu nota dari kerajaan China yang mengarahkan Malaysia supaya menghentikan aktiviti di perairan Sarawak.

Sementara, Wisma Putra pada 5 September pula menyatakan bahawa mereka akan menyiasat kebocoran nota diplomatik tersebut.

Sementara menurut QgenAnalysts telah mendapat perhatian meluas di kalangan netizen selepas data kecerdasan buatan (AI) menunjukkan peningkatan interaksi di ketiga-tiga platform utama media sosial di Malaysia.

“Platform X (sebelumnya dikenali sebagai Twitter) mencatat jumlah komen terbanyak, di mana 65 peratus daripada komen-komen tersebut adalah reaksi negatif terhadap kerajaan.

“Di TikTok (65 peratus) dan Facebook (70 peratus), sentimen negatif terhadap kerajaan dan Perdana Menteri juga mendominasi,” ujar kenyataan itu.

Menurut pertubuhan itu lagi, kebanyakan komen di ketiga-tiga platform tersebut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran yang dilihat lemah dalam menjaga kedaulatan sempadan negara serta kebanjiran rakyat China yang tidak dapat dikesan sepenuhnya di dalam negara.

Tambahnya, netizen turut mengaitkan isu itu dengan kes Ambalat, dan menyatakan bahawa sewaktu lawatan Perdana Menteri China ke Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, Perdana Menteri Malaysia menyatakan bahawa China adalah sahabat yang dipercayai.

“Namun, pada masa yang sama, China masih terus mengganggu perairan negara,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, ujarnya, insiden kebocoran nota diplomatik itu telah mencetuskan reaksi meluas di kalangan rakyat Malaysia, khususnya mengenai kedaulatan perairan negara dan hubungan dengan China.

“Walaupun hubungan diplomatik antara Malaysia dan China terus dikuatkan, reaksi negatif daripada netizen menunjukkan bahawa kebimbangan terhadap integriti sempadan dan keselamatan negara masih wujud,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/9/2024

Ulasan