Kelantan fokus pemerkasaan ekonomi

Kelantan fokus pemerkasaan ekonomi
September 2, 2024

Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud

BANGI: Aspek pemerkasaan ekonomi menjadi fokus penting bagi negeri Kelantan untuk dijadikan hub modal insan pada masa hadapan, kata Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Menurutnya, dari segi ekonomi, Kelantan pada masa kini telah mencatat pertumbuhan yang stabil.

“Kelantan telah memberi fokus kepada sektor-sektor strategik seperti pertanian, industri kecil dan sederhana (IKS), serta pelancongan berasaskan alam semula jadi dan budaya.

“Pembangunan pusat-pusat keusahawanan di Kelantan turut menyediakan peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang, khususnya dalam sektor halal, makanan, dan kraf tangan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak SG4 di sini, hari ini.

Tambah beliau, negeri Kelantan dianugerahkan nikmat kekayaan hasil bumi, sumber mineral dan tanah yang subur.

“Bukan sekadar minyak ada di bumi Kelantan, sebaliknya kaya dengan sumber galian seperti emas, bijih besi, feldspar, batu marmar, granite dan barit dalam bumi Kelantan.

“Hari ini pula, unsur nadir bumi atau REE pula menjadi anugerah yang bernilai dan kita semua perlu teliti dan amatinya secara mendalam demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya lagi.

Justeru, Ustaz Mohd Nassuruddin berkata, kemudahan infrastruktur asas yang kian berkembang seperti kawasan perindustrian, jalan raya dan kemudahan logistik turut menyokong aktiviti perniagaan dan pelaburan.

Kelantan sentiasa terbuka kepada semua pihak untuk melabur dan juga membuka ruang untuk kerjasama dengan negeri SG4 dalam menarik pelaburan bersepadu.

Katanya lagi, dengan semangat SG4 yang wujud ini, bersama-sama membina jaringan ekonomi antara satu sama lain ke arah memperkasakan hasil negeri melalui sumber yang dianugerahkan ini.

“Apa sahaja nikmat ada pada bumi Kelantan, kami usahakan dan manfaatkan demi pembangunan dan kebajikan rakyat. Apabila berbicara mengenai pengurusan dan pembangunan negeri, budaya kerjasama dan kebersamaan perlu diperkukuhkan.

“Kelantan melalui amalan budaya politik matang dan sejahtera komited untuk memastikan konsep federalisme diamalkan dengan profesional antara negeri dan persekutuan. Tambahan lagi, kewujudan SG4 yang mempunyai sinergi kefahaman dan kebersamaan yang tinggi ini menambahkan kekuatan antara negeri-negeri dalam mengorak kesepaduan kerjasama yang membawa kepada kesejahteraan dan kemakmuran rakyat,” ujarnya.

Tambah beliau, hikmah dalam tadbir urus berkerajaan amat penting agar sebarang langkah yang diambil membuahkan sesuatu yang bernilai dan berharga buat rakyat.

Justeru, beliau turut memetik mutiara kata mantan Menteri Besar Kelantan, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan katanya, ‘ilmu secupak, hikmah kena segantang’ yang sesuai diaplikasikan dalam banyak konteks termasuk konteks amalan tadbir urus berkerajaan.

Selain itu, beliau menyeru agar keempat-empat negeri di bawah SG4 dapat bersama-sama mengamalkan tiga gagasan iaitu Pengukuhan Kepimpinan Ulama, Pemerkasaan Ekonomi dan Memperkukuh Budaya Kerjasama dan Kebersamaan.

“Saya berharap agar kolaboratif dan kerjasama antara negeri-negeri SG4 dapat terus dipereratkan dan terus komited untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara melalui kerjasama strategik dengan rakan-rakan negeri SG4 ini.

“Semoga usaha kita ini diberkati dan memberikan manfaat yang besar kepada negeri dan negara.

“Segala usaha yang dilakukan adalah demi memastikan rakyat negeri rakyat negeri Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dapat menikmati kehidupan yang sejahtera, selesa, dan harmoni,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/9/2024

Ulasan