Kenal pasti risiko tanah jerlus


Kenal pasti risiko tanah jerlus
Pasukan mencari dan menyelamat menjalankan operasi di tapak tanah jerlus yang mengakibatkan seorang warga India tertimbus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, baru-baru ini. – MINGGUAN/AFIQ RAZALI
Oleh Prof. Dr. Edy Tonnizam Mohamad
1 September 2024, 9:31 am

Kejadian tanah jerlus mendapat perhatian masyarakat apabila dikejutkan dengan satu peristiwa yang tidak diingini terjadi pada 23 Ogos lalu. Tanpa disangka ketika berjalan pada siang hari dalam cuaca yang tidak hujan, permukaan jalan tersebut terjerlus. Sehingga tulisan ini dibuat masih belum ditemui mangsa.

Pelbagai soalan dan kebimbangan masyarakat berlegar terutama yang tinggal di sekitar Kuala Lumpur tentang tahap keselamatan dan punca ia terjadi.

Faktor geologi berhubung kait rapat dengan kejadian ini. Bukan sahaja jenis batuan dan tanah di kawasan itu yang perlu diberi perhatian.

Namun lanskap bumi seperti kedudukan kawasan yang berdekatan dengan percantuman dua batang sungai iaitu Sungai Klang dan Sungai Gombak telah mencorakkan bahan bumi yang terdapat di situ.

Pasir dan lodak adalah bahan bumi yang biasa terenap di kawasan sebegini. Batu dasar daripada jenis batu kapur pula sangat berpotensi berlaku pelarutan apabila kesan air adalah signifikan. Hasilnya lohong-lohong yang berupa rongga kosong dalam batuan batu kapur boleh terjadi.

Kebiasaannya batu dasar ini berada lebih daripada 20 meter kedalamannya daripada permukaan bumi. Rongga-rongga kosong ini boleh bercantum antara satu sama lain.

Dengan pengenalpastian risiko yang mungkin timbul dan disertai langkah pencegahan, kawasan yang didasari batu kapur adalah selamat dibangunkan sepertimana bandar-bandar lain di dalam dunia.

Sejarah pembinaan dan pembangunan di kawasan terbabit juga penting diambil kira. Jenis bahan tambakan yang digunakan dan laporan penyiasatan sub permukaan dapat membantu kefahaman.

Di samping itu pembinaan sistem utiliti terutamanya parit, paip dan kumbahan yang mempunyai kesan langsung dengan aliran air sangat penting untuk diketahui.

Begitu juga dengan aliran air bawah tanah semulajadi yang mempunyai kesan langsung kepada potensi terjadinya kejadian tanah jerlus sesuatu kawasan.

Kawasan yang diketahui berpotensi terjadi risiko lubang benam sebaiknya dikenalpasti dan ditanda. Sejarah lampau sekiranya pernah terjadi perkara seumpama ini boleh dijadikan pedoman.

Pihak berkuasa tempatan bolehlah melaksanakan pemantauan berterusan sama ada melalui pemerhatian ataupun melalui alatan saintifik.

Dengan cara ini, pembaikian dapat dibuat sekiranya ternampak tanda awal. Dalam kebanyakan situasi, pemendapan awal biasanya dapat dilihat di atas permukaan, dan dapat dibuat langkah pencegahan sekiranya timbul kebimbangan.

Dalam kejadian seumpama ini, di mana terjadinya tanah jerlus, seeloknya penyiasatan tapak yang rapi dilaksanakan segera di kawasan berhampiran kerana keadaan geologi yang mungkin serupa.

Penilaian integriti sub permukaan dengan mengenalpasti risiko serta kedudukannya dengan tepat dapat membantu pihak berkuasa mengambil langkah pencegahan serta memberi keyakinan kepada masyarakat.

Penulis ialah Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) Universiti Teknologi Malaysia/ Felo Utama Pusat Geokejuruteraan Tropika (GEOTROPIK) UTM.

Ulasan